Anggota bomba berusaha mengeluarkan pemandu kereta Preve yang terhumban di dalam sebua parit di Sabak Bernam.

SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas kereta Proton Preve dipandunya terjunam ke dalam parit berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabak Bernam menghala ke Sungai Besar dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Datuk Norazam Khamis berkata kereta itu terbabas dan terjunam pada kedalaman 0.91 meter selepas dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.01 petang memaklumkan kedua-dua kenderaan itu terbabas dan terjatuh ke dalam parit tersebut.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi enam minit kemudian mendapati ketiga-tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam. Pemandu Proton Preve iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30-an telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan dipercayai lemas kerana terperangkap,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata pasangan suami isteri itu yang tidak mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Sabak Bernam dengan ambulans manakala mayat pemandu Proton Preve diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast