KUALA LUMPUR — Selepas 14 tahun beroperasi memproses permohonan pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), sebuah pertubuhan tidak berdaftar berjaya dibongkar malam tadi.
Pertubuhan haram yang dipercayai telah mendaftar lebih 1,000 permohonan itu ditemui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Operasi Penguatkuasaan (Ops Sapu) di salah sebuah premis kediaman di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, Bukit Bintang, di sini.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pertubuhan berkenaan beroperasi sejak 2009 dan menjalankan aktiviti memproses permohonan UNHCR untuk etnik Chin daripada Myanmar.
Menurut beliau, kad pertubuhan yang diedarkan pertubuhan itu memberi iktiraf kepada pemegangnya sebagai seorang pelarian yang sedang memohon pemindahan ke negara ketiga daripada pihak UNHCR.
Namun jelasnya, kad berkenaan tidak sah di bawah peraturan imigresen ataupun di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kad pertubuhan ini ditulis nama organisasi dan menyatakan di dalam bahasa Melayu ‘pemegang kad ini seperti muka di hadapan adalah seorang pelarian’.
“Pemegang kad ini diberi pengiktirafan sebagai seorang pelarian sedangkan pemegangnya belum mendaftar dan memiliki kad dari UNCHR.
“Kad seperti ini adalah dokumen yang tidak sah dibawah peraturan JIM mahupun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang media selepas Ops Sapu di penempatan pekerja warga asing, di sini.
Mengulas mengenai dalang disebalik pertubuhan itu, Khairul berkata, pengerusinya dipercayai salah seorang daripada PATI yang ditahan.
“Saya tidak pasti mereka ada di sini atau tidak, tetapi soal siasat akan difokuskan terhadap mereka yang dari etnik Chin seperti berapa lama sudah berada disini dan bagaimana masuk ke Malaysia.
“Berdasarkan resit yang ditemui, pertubuhan ini turut mengenakan bayaran keahlian yang berjumlah RM500 seorang, dan beberapa bayaran lain.
“Difahamkan, bayaran tersebut bagi proses pengeluaran kad menggunakan mesin cetak sendiri dan dicetak gambar ahli pertubuhan dihadapannya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, JIM akan memanjangkan dokumen yang dirampas kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan agensi yang lain dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam operasi tengah malam tadi, seramai 1,051 warga asing terdiri dari Bangladesh, Pakistan, Nepal, Myanmar, Indonesia dan India diperiksa.
Khairul berkata, 544 daripadanya yang berusia lingkungan setahun hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tiada dokumen perjalanan, dokumen perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas lawatan sosial.
Turut ditahan 30 kanak-kanak etnik Chin berusia antara setahun dan 10 tahun.
Katanya, semua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. -MalaysiaGazette