Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menegaskan adalah tidak wajar pada masa ini untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kemasukan pelancong dari negara-negara lain, termasuk China.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, keselamatan dan kesihatan rakyat kekal menjadi keutamaan kementerian itu ia juga perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi yang turut menjadi kepentingan rakyat dan negara.

Setakat ini, katanya, MOTAC masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa,

”Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) secara khusus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, bersandarkan kepada fakta, negara Amerika Syarikat mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat Covid-19 manakala China merekodkan 31,000 kematian dengan 10.16 juta kes positif direkodkan.

“Oleh sebab itu jika kita lihat, negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja pun tidak memperketatkan kemasukan pengembara dari China. Masa yang sama timbul persoalan mengenai kedatangan pengembara dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Perancis yang turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi.

”Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak ini ialah 0.002 peratus. Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7 peratus kematian direkodkan,” tambahnya.

King Sing berkata, Malaysia telah menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini walaupun mereka datang dari negara yang memiliki rekod jangkitan Covid-19 yang tinggi.

“Kita bersyukur kerana situasi penularan Covid-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal. Malah China juga telah melepasi fasa lonjakan jangkitan Covid-19, maka mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah yang tepat serta berkesan pada ketika ini,” ujar beliau.

Tambahan pula, katanya, angka RM30 bilion yang dinyatakan sebelum ini menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus membabitkan negara China.

Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia dari 3 juta pada tahun 2019 kepada kira-kira 6 juta tahun ini.

”Soal diskriminasi ini perlu dipandang serius. Lantas itu saya membandingkan negara-negara lain selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.

“Apa yang saya bangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan negara tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara sekalipun termasuk China. Ini penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar, lebih-lebih lagi rakan perdagangan Malaysia.

”MOTAC sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan orang ramai sentiasa menjadi keutamaan.

”Dalam masa sama, langkah mendiskriminasi mana-mana negara tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan hubungan diplomatik, tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di saat negara sedang beransur pulih,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.