KUALA LUMPUR – Ulasan penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjawab pertanyaan sama ada sah atau tidak seorang suami berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isteri pertama tular di media sosial.
Menerusi videonya di laman TikTok, pakar fekah menjelaskan, hukum seorang suami berkahwin seorang lagi tanpa pengetahuan isterinya sehingga membuatkan hati wanita remuk dan kecewa.
“Hukumnya (poligami) sah tetapi perbuatan itu tak betul kerana perkahwinan ini adalah bergembira bukan bersedih,” ujarnya.
Azhar menjelaskan, hidup berpoligami bermaksud kesemua mereka terlibat iaitu suami, isteri pertama dan isteri kedua (serta seterusnya jika ada) perlulah bergembira tanpa ada salah seorang tercicir sehingga menanggung penderitaan sendirian.
Oleh itu, adalah penting seorang suami mendapatkan keizinan daripada isteri pertama bagi mengelakkan mereka rasa ditipu hidup-hidup.
“Minta izin, saya nak berkahwin seorang lagi. Inilah orangnya (sambil tunjuk gambar), awak berkenan atau tidak. Dia cakap tak suka, okey cari lain sampai mendapat restu dari isteri pertama,” katanya.
Tambah Azhar , tindakan seorang suami berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama seolah-olah mereka telah melakukan penipuan dan semestinya menimbulkan rasa marah.
“Kalau isteri tipu, kita marah tak? Sama jugalah dengan konsep kahwin tanpa pengetahuan isteri. Dia masih ingat kita tak beri dia ‘madu’. Betul tak? Jadi, isteri rasa tertipu. Jangan sebab jasa isteri sangat besar dengan kita (suami),” jelasnya lagi.
Sejak kelmarin, isu poligami semakin hangat menjadi bualan ramai apabila pengarah tersohor, Syamsul Yusof mengakui sudah berkahwin dengan Ira Kazar yang sekaligus menjadikan wanita itu sebagai isteri keduanya selepas pelakon, Puteri Sarah Liyana.
Berita itu membuatkan majoriti wanita marah apabila pengarah berusia 38 tahun itu membelakangkan keluarganya termasuk mengecewakan hati seorang isteri.
Ini kerana Syamsul pada mulanya menafikan dia sudah berkahwin dengan Ira dengan mengatakan ia hanyalah fitnah semata-mata sehingga mahu ‘saman’ pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pun begitu, Syamsul menegaskan, Puteri Sarah masih isterinya yang sah dan berharap agar pulang ke pangkuannya bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka tanpa menghebahkan aib di media sosial. – MalaysiaGazette