Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

PETALING. JAYA – Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) berpendapat penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek Bahasa Melayu (BM) bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee berkata, jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

“Kementerian Pendidikan telah mengambil tindakan berlainan dalam UASA pertama dan menggunakan kertas ujian Bahasa Melayu yang selaras tanpa mendapatkan pandangan pihak sekolah terlebih dahulu.

“Kami berasa terkejut dan bimbang serta tidak bersetuju dengan dasar ini,” katanya kepada Sinchew Daily.

Susulan daripadanya, Lek Aee meminta Kementerian Pendidikan memperbetulkan dasar berkenaan kerana waktu pelajaran subjek BM adalah tidak sama antara SRJK dan SK tidak kira pada tahap pertama (darjah satu hingga tiga) atau tahap kedua (darjah empat hingga lima).

Beliau menjelaskan, waktu untuk subjek Bahasa Melayu di SK dan SRJK masing-masing adalah minimum 192 jam dan 160 jam setahun pada tahap pertama dan 160 jam dan 128 jam pada tahap kedua.

“Disebabkan perbezaan ini, SRJK menggunakan buku teks yang berlainan.

“Walaupun tema dan kandungannya adalah serupa, tetapi tahapnya adalah berlainan,” katanya.

Tambahnya, cara pengajaran BM di SRJK juga berbeza dengan SK kerana kebanyakan murid di SK menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

“Disebabkan faktor ini, Kementerian Pendidikan selama ini menyediakan buku teks dan waktu pelajaran berlainan untuk SK dan SRJK.

“Soalan untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau UPSR sebelum ini juga menggunakan soalan berbeza,” katanya.

Beliau justeru berpendapat, keadaannya adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan tidak kira Kementerian Pendidikan menaikkan atau menurunkan tahap kesukaran soalan UASA untuk menyesuaikan keperluan aliran sekolah berlainan.

“Ini tidak membantu proses pelajaran serta memberi tekanan dan gangguan kepada murid dan cikgu.

“Kementerian Pendidikan harus meneliti isu ini bagi mengelakkan ia menjejaskan keberkesanan pendidikan murid,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Bahasa melayu adalah bahasa kebangsaan. Anak-anak dayak iban dusun kelate dan orang asli boleh pula mengikuti walhal bahasa ibunda dan dirumah mereka bukan bahasa melayu disekolah sepenuhnya. Mereka bertutur mengikut dialek keturunan dan negeri mereka. Seharusnya SRJK perlu berubah, kalau tidak cukup waktu maka lebihkan masa pembelajaran.

  2. Dana peruntukkan sekolah vernakular menzalimi bahasa-bahasa ibunda ethnik tempatan bangsa-bangsa Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Orang Asli dan seumpamanya. Ethnik-ethnik Cina dan India, Rohingya, Syria dll ada hak asasi pendidikan daripada negara-negara asal mereka masing-masing.

Comments are closed.