Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Parti MCA tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP semata-mata untuk berkuasa.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan, parti itu akan terus berdikari kerana MCA merupakan sebuah parti yang mempunyai sejarah, organisasi dan jiwa yang besar.

“Seperti mana parti-parti politik lain, kita akan mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan politik mengikut edaran masa dan menghormati pasaran politik semasa.

“MCA tidak akan menjadi oportunis politik atau mengikut expediency atau peluang politik semata-mata untuk berkuasa.

“Segala tindakan kami selama ini adalah berlandaskan prinsip-prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan, institusi dan tradisi,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Lian Ker mengulas pandangan seorang ahli akademik yang menasihatkan MCA memihak kepada DAP supaya berada dalam kedudukan yang lebih baik bagi memenangi kerusi pada pilihan raya negeri akan datang di Pulau Pinang dan Selangor.

Menurut Lian Ker, MCA tidak akan bertindak semata-mata untuk berkuasa atau memberi janji kosong mahu pun menjatuhkan lawan melalui fitnah atau provokasi dan justifikasi politik untuk mencari kesempatan berkuasa.

“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan , tohmahan atau fitnah dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette