Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman telah menahan seramai 306 individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan sepanjang tahun lalu.

Penahanan itu menerusi Op Kontraban yang dilaksanakan di seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) itu turut merampas pelbagai barangan bernilai RM132.7 juta.

Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi membendung ketirisan barangan kawalan bersubsidi dengan rampasan terbanyak membabitkan barangan di bawah Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan bernilai RM68 juta.

antara barangan yang dirampas oleh KDNKA dalam Op Kontraban yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu. Ihsan Bukit Aman

“Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar melalui Op Bersepadu Khazanah dengan kejayaan rampasan bernilai RM2.85 juta dan Akta Bahan Letupan bernilai RM7.57 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut diambil tindakan di bawah Akta Bekalan dengan melakukan rampasan sebanyak RM40 juta, Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (RM1.5 juta) serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 1967 (RM25,000).

Tambah Noorsiah lagi, KDNKA juga membuat rampasan di bawah Seksyen 379 atau 427 Kanun Keseksaan (Bitcoin) membabitkan nilai rampasan berjumlah RM1.581 juta dan RM12, 000 melalui Akta Senjata 1960.

Rampasan yang dilakukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 adalah bernilai RM7.32 juta serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Bahan Kosmetik 1984 dan Akta Racun 1952 membabitkan jumlah rampasan bernilai RM3.42 juta.

Menurut Noorsiah, bagi tempoh enam hari pertama tahun ini, CPSK telah melancarkan sebanyak sembilan serbuan di seluruh yang berjaya membawa kepada rampasan sebanyak RM27.4 juta.

“Dalam serbuan itu, polis telah berjaya mencekup 23 orang terdiri daripada 17 warga tempatan dan enam warga asing.

“CPSK akan terus komited memacu langkah untuk melaksanakan operasi bersepadu melalui eleman barisan hadapan termasuk Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Usaha bersepadu agensi-agensi ini merupakan langkah proaktif untuk PDRM dalam menyumbang secara lebih efektif dalam membendung penyelewengan minyak diesel bersubsidi, rokok serta minuman keras demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette