Dr. Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Kerajaan Arab Saudi bersetuju memperuntukkan sebanyak 31,600 kuota haji untuk tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, keputusan itu disampaikan Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia kepadanya dalam mesyuarat khas sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 semalam.

Menurutnya, mesyuarat anjuran Kerajaan Arab Saudi itu dengan penuh mahabbah khususnya membincangkan aspek persiapan musim haji tahun 1444H/2023M.

“Sukacitanya dimaklumkan, kuota haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Dalam mesyuarat itu, kata Dr. Na’im, kerajaan Arab Saudi memuji negara Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

Katanya, beliau telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini.

“Saya yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima,” katanya.

“Saya mohon kepada semua umat Islam dapat bersama berdoa kepada Allah agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette