Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengutuk keras tindakan pihak tertentu cuba menakut-nakutkan atau menggugat badan kehakiman.

Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, tindakan itu sangat tidak wajar dan diumpamakan sebagai perosak kebebasan institusi keadilan.

“Golongan ini boleh diumpamakan sebagai perosak kebebasan badan kehakiman dan mempunyai nilai moral yang rendah kerana membuat tekanan lebih kepada kepentingan golongan mereka dan tidak mengendahkan kepentingan awam.

“Wira Putra tetap berdiri teguh dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman kerana ia adalah salah satu dari cabang institusi sistem Raja Berperlembagaan.

“Justeru, Wira Putra mengutuk sekeras-kerasnya kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba menakut-nakutkan atau cuba menggugat badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilaporkan berkata, terdapat kumpulan atau golongan tertentu cuba menakut-nakutkan badan kehakiman berdasarkan kes politik yang pernah dibicarakan.

Katanya, perbuatan itu sangat tidak wajar kerana institusi kehakiman adalah satu badan yang menjulang kedaulatan undang-undang dan segala yang diputus atau hukuman yang dijatuhkan pastinya berdasarkan fakta serta pembuktian yang telah diteliti.

Menurut Nasrul Ali Hasan, hakim yang ditugaskan adalah dari kalangan yang bijak dan mahir dalam bidang perundangan, maka tidak perlu bimbang dan rasa takut dengan sebarang ugutan atau apa jua cubaan menakut-nakutkan ini kerana majoriti rakyat Malaysia bersama para hakim.

Jelas beliau, Wira Putra sedia bertempur dan bergasak dalam apa bentuk keadaan dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat badan kehakiman lebih-lebih lagi yang bermotifkan politik.

“Putra ini kecil-kecil cili padi atau umpama kala jengking, walau kecil tetapi sentiasa berwaspada dengan apa saja kemungkinan,” katanya.

Shahrulufti Sharif

Sementara itu, Ketua Penerangan Putra Malaysia, Shahrulufti Sharif menegaskan, parti itu sentiasa berwaspada dengan apa saja kemungkinan demi melindungi badan kehakiman supaya dapat melaksanakan tugas dengan penuh berintegriti, bebas, tegas dan menjunjung rule of law tanpa takut kepada mana-mana pihak.

Ini  bagi membolehkan badan Kehakiman mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat tanpa ragu ragu serta prejudis.

Oleh itu, ujar beliau, hakim tidak perlu bimbang dan rasa takut kerana majoriti rakyat turut bersama mereka, malah rakyat akan memberontak dan negara huru hara jika rule of law tidak dilaksanakan dengan adil dan telus.

“Putra adalah parti politik yang tetap tegas dengan pendirian melindungi kebebasan kehakiman demi menjaga kehormatan negara di mata dunia sebagai negara berdaulat yang bermaruah,” katanya. – MalaysiaGazette