Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Formula kemelut politik di Sabah hanya dapat diredakan dengan mewujudkan Kerajaan Perpaduan selari dengan Kerajan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu merupakan formua yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungannya bersama beliau untuk bertemu dengan pemimpin politik di Sabah semalam.

“Yang penting matlamat Datuk Seri Anwar ialah menyarankan agar diwujudkan Kerajaan Perpaduan di Sabah yang akan melibatkan semua parti-parti yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Jadi, untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar untuk Kerajaan Perpaduan di wujudkan…tetapi, soal pengumuman itu harus disantuni terlebih dahulu,” katanya pemberita ketika ditemui selepas Program Sembang Santai Bersama Media, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau yakin rakyat di Sabah tidak mahu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana ia bukan sahaja sesuatu yang memenatkan malah, turut membebankan.

Katanya, demokrasi bukan hanya melalui poiihan raya sebaliknya, mempunyai kesepakatan diantara parti-parti politik yang kesemuanya berhasrat memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Tambah beliau, perkara itu harus diterjemahkan supaya untuk tempoh berbaki dua hingga dua tahun setengah sebelum pilihan raya Sabah diadakan semula segala kepentingan rakyat dapat dilasanakan.

“Jika politik dijadikan agenda maka soal-soal yang saya nyatakan itu tidak akan diberi keutamaan.

“Saya minta semua pihak berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk bersama Perdana Menteri bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Sabah,” ujarnya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional mengadakan pertemuan dengan Pemimpin BN di Sabah.

Jumaat lepas, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pihaknya menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN mengecam tindakan Bung Moktar itu sekali gus mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bertemu dengan Bung Moktar bagi membincangkan beberapa perincian tertentu. – MalaysiaGazette