Ramkarpal Singh

PUTRAJAYA – Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan daripada Majlis Peguam Malaysia berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kerajaan turut mengambil kira pandangan jawatankuasa khas yang dipengerusikan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum.

“Ini termasuk mengadakan sesi libat urus dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak Ketua Pegawai Keselamatan (CSO) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah yang menggesa kerajaan mengambil langkah sewajarnya supaya banduan hukuman mati seramai 1,327 orang dapat dikecualikan daripada hukuman mati selepas hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan dimansuhkan.

Gesaan itu menyusul berikutan kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said bulan lalu, bahawa Putrajaya akan meminda undang-undang yang membawa hukuman mati supaya hukuman alternatif boleh dilaksanakan.

Menurut Cheah, banduan tidak sepatutnya dibiarkan menunggu lama di penjara tanpa mengetahui nasib mereka dan ketika ini terdapat penangguhan ke atas pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan akhir.

Ramkarpal berkata, cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang sedang diteliti hendaklah mengambil kira kedudukan semua pihak yang terlibat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang-undang sentiasa diberi keutamaan.

Pada masa sama, katanya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan cadangan dan input baharu daripada CSO dan NGO, termasuk pihak berkepentingan mengenai isu berkenaan agar proses pembaharuan undang-undang telus dan holistik.

“Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan. Oleh itu, pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan ini dijadualkan akan dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang,” katanya.

Sebelum ini, sebanyak tujuh RUU berkaitan pindaan akta-akta untuk pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori telah dibentangkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2022.

Sebarang pindaan perlu dibentangkan semula ke sidang Parlimen yang akan datang disebabkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

Menurut Ramkarpal, Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan yakin penyelesaian terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak akan diambil kira. – MalaysiaGazette