KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam berputih mata apabila kerugian sebanyak RM19,000 daripada wang simpanannya selepas menjadi mangsa sindiket penipuan iklan di Facebook pada 2 Januari lalu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Zhang berkata, dia tertarik dengan tawaran iklan khidmat pembersihan yang menawarkan pilihan masa dan harga yang murah di media sosial terbabit pada 31 Disember 2022.
“Saya tertarik dengan iklan khidmat pembersihan itu kerana memberikan dua pilihan masa sama ada dua jam atau empat jam kerana kebiasaannya hanya menawarkan empat jam.
“Jadi saya ingin mencuba terlebih dahulu bagi tempoh dua jam dan harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah iaitu RM20 bagi tempoh itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Wanita berusia 30-an itu berkata, dia kemudiannya menghubungi perkhidmatan terbabit pada 1 Januari lalu menerusi messenger sebelum meneruskan perbualan di aplikasi Whatsapp untuk membuat transaksi.
“Sindiket bagi satu pautan untuk mengisi butiran peribadi seperti nama pengguna, kata laluan dan nombor kad bank untuk membuat pembayaran, tetapi tidak berjaya.
“Saya beritahu pembayaran pada pautan tersebut tidak dapat dilakukan, sindiket kemudian hantar satu aplikasi untuk dimuat turun dan ajar cara-cara untuk menggunakannya,” katanya.
Menurut Zhang, pembayaran melalui aplikasi tersebut juga tidak berjaya membuatkan timbul rasa tidak percaya terhadap perkhdimatan terbabit dan keluar daripada aplikasi berkenaan.
Jelasnya, dia bertanya kepada kenalan tentang khidmat itu dan mereka berkata kemungkinan ia adalah sindiket penipuan dan diminta untuk semak akaun bank.
“Saya semak akaun bank dan duit hilang sebanyak RM19,000 menerusi lima transaksi yang dibuat.
“Sindiket juga ada cuba untuk membuat pembelian menggunakan kredit kad berjumlah RM10,000 tetapi tidak berjaya,” jelasnya.
Susulan itu, Zhang membuat laporan polis di Balai Polis Kajang dan pergi ke bank untuk membekukan akaun pada 2 Januari lalu.
Dia berharap agar pihak bank mengambil tindakan dan memperketatkan sistem sekuriti serta menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati agar tidak ditipu.
Sementara itu, Ketua DAPSY Biro Aduan Awam Selangor, Lee Wen Bin berkata, pihaknya menerima lebih 50 kes berkaitan pelbagai jenis penipuan dengan kerugian mencecah jutaan ringgit pada tahun 2022.
”Kebanyakan aduan melibatkan pinjaman wang palsu, tawaran pekerjaan palsu dan scammer yang menyamar sebagai pegawai bank.
“Ada juga yang menjadi mangsa penipuan selepas melihat iklan di media sosial yang menawarkan tawaran menarik tidak masuk akal,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati memilih iklan atau servis di sosial media dengan membuat semakan terlebih dahulu.
“Sekiranya ada mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan, hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997,” katanya. – MalaysiaGazette