Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS berikutan permintaan yang bertambah baik untuk mata wang tempatan.

Menurut peniaga ActivTrades, selain itu ringgit turut disokong oleh pengukuhan data ekonomi yang menunjukkan pemulihan daripada krisis Covid-19 yang semakin baik, termasuk kadar pengangguran yang menurun dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat 20 mata asas kepada 4.3700/3760 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin pada 4.3720/3765.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata walaupun angka inflasi di Malaysia tinggi pada 4.0 peratus pada November 2022, ia masih lebih rendah berbanding inflasi di Amerika Syarikat (AS), yang kali terakhir dibaca 7.1 peratus pada bulan yang sama.

“Kesemua angka ini menunjukkan keadaan ekonomi yang menggalakkan di Malaysia, yang sepatutnya menggalakkan kemasukan modal asing ke dalam negara dan menyebabkan gandingan dolar-ringgit AS merosot dalam beberapa bulan akan datang.

“Dari sudut teknikal, sekiranya dolar-ringgit AS menembusi di bawah paras 4.3650, ia mungkin turun serendah 4.2400 sebelum menemui beberapa sokongan yang lebih penting,” kata Diniz kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura menjadi 3.2835/2885 daripada 3.2793/2832 dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3184/3235 daripada 3.3009/3045 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut susut berbanding pound Britain kepada 5.3196/3269 daripada 5.3124/3179 pada penutup Isnin dan rendah berbanding euro kepada 4.6877/6941 daripada 4.6636/6684. – BERNAMA