Sudha Devi

KUALA LUMPUR – Bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Sudha Devi KR Vasudevan dilantik semula sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari lalu.

Pelantikan semula itu mendapat sokongan konsensus daripada semua 56 negara anggota komanwel.

Sudha Devi pertama kali dipilih ke jawatan itu pada 2020 melalui pilihan raya yang diadakan di London dan menjadi rakyat Asia pertama dipilih sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel sejak penubuhannya pada 1966.

Menurut kenyataan Wisma Putra, pelantikan itu mencerminkan peranan penting Malaysia dan komitmen kuat dalam menyokong kerja yayasan serta organisasi komanwel.

Katanya, sebagai Pengerusi Yayasan Komanwel, Sudha Devi mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengelolanya; mewakili yayasan pada mesyuarat dan acara antara kerajaan serta berkhidmat sebagai dutanya dalam mempromosikan visi dan nilai yayasan itu.

“Yayasan Komanwel telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menyokong dan mengukuhkan penyertaan rakyat, terutama melalui Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) untuk membina masyarakat demokratik.

“Sepanjang tahun, yayasan ini telah menjalankan pelbagai program untuk menyokong suara sivik bagi mempengaruhi wacana awam mengenai isu seperti kesaksamaan jantina dan khidmat masyarakat.

“Ia juga menawarkan geran kepada CSO negara anggota komanwel yang berhasrat untuk menganjurkan program bagi menggalakkan penyertaan rakyat dalam menegakkan tadbir urus, demokrasi dan hak asasi manusia,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Kali pertama beliau dilantik untuk tempoh dua tahun pada 1 Januari 2021 yang dicapai pada Mesyuarat Luar Biasa Lembaga Gabenor-Gabenor Yayasan Komanwel yang diadakan secara maya pada 28 Oktober 2020 di London.

Keputusan mesyuarat itu seterusnya diperakui Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel pada 7 Disember 2020 dengan Malaysia menerima undian terbanyak semasa pemilihan tersebut, mengatasi calon dari Cameroon, Kenya dan Papua New Guinea. – MalaysiaGazette