PUTRAJAYA – Seorang ketua pegawai operasi syarikat pembinaan serta rakan sekutu, seorang warga United Kingdom yang menjadi perunding syarikat tersebut direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didisyaki membuat sejumlah tuntutan palsu berkaitan sebuah projek bangunan 41 tingkat di ibu negara yang bernilai RM389 juta.
Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu telah ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan.
Mereka dipercayai bersubahat membantu syarikat pembinaan tersebut mengemukakan sejumlah tuntutan palsu kepada sebuah syarikat pelaburan.
Susulan itu, kedua-duanya dihadapkan di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi untuk proses permohonan perintah reman oleh SPRM.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan mereka direman selama enam hari bermula 11 Januari sehingga 16 Januari 2023 ini untuk membantu siasatan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan mereka.
Menurut beliau, mereka sedang disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette