Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap kepada media pada sesi temu bual di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid  mengesahkan dirinya berada di United Kingdom semasa desas desus ‘Langkah London’ baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menafikan dirinya terlibat dengan langkah yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya nafi kerana tidak ada pun, memang saya pergi London tapi saya tidak jumpa pun dengan sesiapa dan orang-orang yang disebut dalam dakwaan itu.

“Malah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun sudah buat kenyataan, dia tidak ada di London dan berada di Dubai. Jadi itu pun (Langkah London) tidak betul,” katanya dalam sidang media di pejabatnya Naib Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini hari ini.

Mahdzir berkata demikian mengulas pertanyaan sama ada beliau terlibat dengan langkah yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Langkah London sebelum ini didedahkan sebuah portal berita selepas gambar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan mengadakan pertemuan tertutup di London tersebar.

Gambar tersebut menimbulkan spekulasi kononnya terdapat rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan Anwar dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut diheret dalam serangan itu mendakwa menjadi mangsa fitnah pihak yang “tidak mengenal dosa” apabila dikaitkan dengan Langkah London.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan, sejak berakhirnya pilihan raya umum, beliau lebih banyak berdiam diri untuk mengelak menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Terap mengakui sudah lali dengan dakwaan mana-mana pihak terhadap dirinya.

“Ke mana sahaja saya pergi ada sahaja ‘langkah’, saya ada di London baru-baru ini, jadi saya fikir jauh nak pergi sampai ke London.

“Dulu Langkah Kajang sahaja, tidak betul sebenarnya, jadi saya fikir sebagai salah satu orang lama dalam UMNO, saya pun telah bersetuju dengan parti untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan saya berada dalam mesyuarat di mana keputusan dibuat untuk menubuhkan kerajaan Perpaduan dengan PH.

“Mengapa pula ada sekumpulan dikaitkan dengan nama saya pergi ke London adakah mesyuarat dan berusaha untuk mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette