Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan ketika hadir ke Persidangan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO perlu menjadi penentu kepada trend baharu dalam parti dalam menyumbang idea dimensi muda bagi meremajakan parti supaya terus kekal relevan dalam landskap politik negara.

Perkara tersebut ditegaskan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan apabila berkata, itu peranan yang perlu dibawa oleh sayap parti tersebut pada masa depan.

“Kita sepatutnya menjadi penentu trend baru dalam parti.
Kalau parti perlu reform, maka Puterilah sepatutnya menjadi ejen reformasi terkuat dalam parti.

“Sebagai orang muda mari kita perah otak kita untuk memberi dimensi muda untuk meremajakan parti yang kita sayangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Zahida berkata, kemahuan dan corak serta cita rasa pengundi adalah tuntutan terbesar yang perlu difahami dan ia peru diterjemahkan melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

Justeru konsep jentera dan gerak kerja parti juga perlu diubah dengan membuat penyesuaian baru dalam parti.

“Kita kalah bukan kerana tidak cukup memberi khidmat, kita kalah kerana tidak mampu melawan perang persepsi yang mereka (pihak lawan) mainkan.

“Banyak konsep gerak kerja pilihan raya perlu disemak semula. Ini juga menuntut untuk kita melihat semula peranan
Pergerakan Puteri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahida berkata, sudah sampai masanya untuk UMNO memperkemaskan ‘askar’ media sosial dan membina kumpulan pempengaruh bagi ‘menawan’ pemikiran anak muda.

Langkah itu kata beliau, adalah untuk memberi keseimbangan di negeri sasaran parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

“Saya menyeru pucuk pimpinan parti berilah tumpuan kepada kaedah ini dan keutamaan untuk menguruskan perang persepsi. Sepatutnya media sosial dijadikan core business parti secara keseluruhannya di semua peringkat,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast