Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUANTAN – Keunikan dan strategiknya penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini telah pun terzahir dalam ucapan Timbalan Presiden UMNO semasa merasmikan persidangan sayap-sayap parti malam tadi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Datuk Seri Mohamad Hasan telah memberikan lebih pencerahan kepada pendokong UMNO.

“Saya menghayati setiap bait-bait suara hati Timbalan Presiden UMNO sewaktu merasmikan persidangan sayap-sayap. Terima kasih kerana telah memberi satu pencerahan yang sangat didambakan oleh semua pendokong-pendokong UMNO.

“Timbalan Presiden turut menerangkan tentang keputusan untuk kita berada dalam kerajaan perpaduan hari ini seperti diusulkan oleh KDYMM Yang Di-Pertuan Agong untuk memastikan jemaah menteri dalam Kerajaan Perpaduan ini bersifat majmuk dan terdiri daripada pelbagai kaum.

“Inilah asalnya negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan sangat majmuk.Demi mengembalikan negara Malaysia seperti asalnya, penyertaan UMNO dalam kerajaan inilah jalan yang terbaik,” kata Ketua UMNO Bahagian Kuala Lipis itu ketika dihubungi hari ini.

Katanya UMNO kena sedar dan bermuhasabah dengan kegagalan dan kekalahan di mana ia satu tamparan hebat apabila cuma memenangi 30 kerusi pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lepas.

“Sedarkah kita, betapa sayangnya Allah SWT kepada UMNO, di sebalik peristiwa kekalahan ini kita masih diberi peluang untuk mempunyai peranan dalam kerajaan.

“Percayalah demi survival parti, inilah jalan tengah yang perlu kita ambil. Kita mempunyai pengalaman yang sangat sedikit sebagai pembangkang sekiranya kita memilih untuk terus menjadi pembangkang, mungkin kita akan dikuburkan dan tiada peluang lagi untuk kembali bangkit,” tambahnya.

Menurut Abdul Rahman, sekiranya UMNO bersama pihak lain yang mempunyai demografi pengundi yang sama, ini menyukarkan UMNO untuk kembali memimpin di masa akan datang.

Katanya lagi, sekiranya parti semakin kehilangan undi orang Melayu dan tidak mempunyai sokongan bukan Melayu, UMNO akan berdepan dengan risiko yang sangat sukar untuk diselamatkan.

“Dalam Kerajaan Perpaduan ini, kita adalah parti Melayu terbesar dan inilah sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita untuk kembali memenangi hati pengundi Melayu demi masa depan UMNO.

“Ingat dan hadamlah formula ini supaya kita akan kembali berkerja keras demi masa depan UMNO. Inilah masanya untuk kita semua berganding bahu dan memberi sebanyaknya kepada parti UMNO yang kita sayangi,” ujarnya. – MalaysiaGazette