KUALA LUMPUR – Gerak kerja jentera Pergerakan Wanita UMNO perlu diubah mengikut peredaran zaman bukan lagi dengan kaedah lama yang ternyata gagal menarik sokongan rakyat kepada parti itu.
Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sekarang ini sayap parti itu melihat setiap maklumat perlu disampaikan melalui hujung jari bukan sahaja berkempen dari rumah ke rumah.
Kata beliau, kaedah hujung jari itu bagaimanapun masih dalam peringkat kajian dan tidak menolak kemungkinan akan menggunapakainya dalam kempen pilihan raya akan dating.
“Kita akan gunapakai jentera kita untuk melaksanakan kempen perjuangan parti degan cara yang lebih moden dan mengikut peredaran zaman.
“Di peringkat Wanita UMNO Malaysia, kita akan kaji dan mungkin akan ubahsuai perjuangan seperti menyediakan siber trooper.
“Bayangkan, kita ada sejuta lebih ahli Wanita yang cekap bermain media sosial, saya fikir kita akan adakan tentera siber wanita yang kuat atau jentera yang boleh turun untuk berkempen melalui media sosial,” katanya di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di sini hari ini.
Menurut Norliza, kempen rumah ke rumah tetap diadakan juga tetapi di kawasan tertentu sahaja seperti kampung, desa dan pedalaman yang tidak mempunyai rangkaian internet.
Manakala kempen secara talian pula ditumpukan pada Kawasan bandar sepertimana dilakukan oleh parti lain.
“Sebab itu, kita lihat pada PRU15 baru-baru ini, kaedah kempen yang digunakan oleh parti seperti senyap. Rupanya, mereka aktif berkempen menarik sokongan orang ramai termasuk anak muda melalui media sosial.
“Oleh itu, kita akan kaji kaedah baharu ini iaitu bagaimana untuk kita turut berkempen melalui media sosial,” katanya.
Beliau turut mengakui Wanita UMNO kecewa dengan kekalahan teruk itu, tetapi ia tidak akan ke mana.
“Sebaliknya, kita kena fikir bagaimana hendak bangkit dan apakah resipi terbaik untuk menjelaskan kepada akar umbi arah tuju parti,” ujarnya.
Mengenai penglibatan UMNO dan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, Norliza menjelaskan, penyertaan itu menyaksikan Malaysia setanding dengan negara maju lain.
Katanya, banyak negara maju dan membangun sekarang mempunyai kerajaan campuran menunjukkan rakyatnya matang dan seiring dengan pembangunan negara berkenaan.
“Dengan UMNO ini pun, kita bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan ini dan kita akan pastikan agenda serta misi parti kita mencapai matlamat perjuangan,” katanya. – MalaysiaGazette