perwakilan pertandingan
Khairy Jamaluddin.- Foto AFFAN FAUZI, 12 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merayu kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2022 agar tidak membiarkan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan diluluskan.

Menurut beliau, mereka tidak seharusnya terpengaruh dengan naratif pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden akan membawa kepada perpecahan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berpandangan, perwakilan seharusnya diberi kebebasan untuk memilih pucuk pimpinan parti.

“Siapa yang menang dapat mandat daripada parti, siapa yang menang kita sokong dan kita ketepikan segala perbezaan selepas selesai pemilihan nanti.

“Itu budaya kita dalam UMNO. Pemilihan memang biasa dan pertandingan memang biasa tetapi bila dah menang tu kita move on sebab yang menang akan dapat mandat dan kita akan rapatkan balik saf kita,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam akaun TikTok miliknya, hari ini.

Perwakilan UMNO akan membuat keputusan berhubung usul tambahan tersebut petang ini.

Khairy menambah, adalah sangat penting agar perwakilan tidak melakukan ‘Langkah Dewan Merdeka’ untuk ‘membunuh’ demokrasi sekali gus menidakkan suara perwakilan  menentukan masa depan UMNO.

Beliau turut membangkitkan isu tanda nama perwakilan pada kerusi di dalam Dewan Merdeka yang ditanggalkan seperti yang didakwa menerusi rakaman video tular dalam media sosial hari ini.

Khairy khuatir sekiranya situasi itu ada kaitan dengan cubaan untuk mempengaruhi keputusan undian terhadap usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi UMNO petang ini.

Beliau juga berasa pelik kerana usul tiada pertandingan dibawa oleh wakil Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Shamsuddin yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rembau.

“Pelik sebab Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau. Kalau nak bawa usul tambahan pun coverlah sikit,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Khairy memuji keberanian yang ditunjukkan oleh wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd. Rafique dan wakil Johor, Datuk Pandak Ahmad ketika membahaskan ucapan dasar presiden hari ini kerana menghormati kehendak perwakilan agar demokrasi dijalankan seperti biasa dalam UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast