Firms with an entrenched management would be more likely to hold large amounts of excess cash to maximise their personal benefits.

KUALA LUMPUR – Pengukuhan ringgit akibat inflasi Amerika Syarikat (AS) yang kian melemah dijangka berterusan dengan mata wang tempatan itu diunjurkan diniagakan antara 4.3250 dan 4.3450 pada minggu hadapan.

Data terkini terus mengukuhkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan lagi dasar pengetatannya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata dolar US luar pesisir daripada pelabur bernilai bersih tinggi tempatan boleh berpindah semula memandangkan hala tuju ringgit mula beroleh keyakinan dan dilihat mampu memecahkan paras 4.30 tidak lama lagi.

Tekanan harga pengguna AS menyederhana lagi menjelang Disember lepas, menambah pengharapan bahawa inflasi akan terus berkurangan pada tahun ini serta meningkatkan harapan agar Fed mengurangkan pengetatan dasarnya dan seterusnya, mengenepikan risiko kemelesetan oleh ekonomi terbesar di dunia itu.

Dilaporkan bahawa inflasi AS menyusut kepada 6.5 peratus pada Disember, menandakan pertumbuhan harga tahunan yang merosot selama enam bulan berturut-turut.

“Pelabur dolar US institusi asing akhirnya akan keluar daripada keluk risiko dan mula membeli aset Malaysia. Saya melihat ini akan benar-benar berlaku apabila kes COVID-19 China berkurangan. Kemudian kita akan melihat keuntungan penting seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan Tahun Baharu Cina semakin hampir, terdapat juga kebimbangan mengenai kemungkinan gelombang baharu.

Secara keseluruhannya, beliau berpendapat kestabilan politik akan menjadi tema utama kekuatan ringgit pada 2023.

“Pelabur asing akan mengawasi politik, tetapi konsensus bergerak ke arah yang baik.

“Pelabur tempatan serta serantau membeli ringgit selain mereka menjangkakan peningkatan besar dalam eksport dan pelancongan,” katanya.

Minggu hadapan, semua pihak akan tertumpu kepada kadar dasar semalaman (OPR) domestik apabila mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama bagi 2023 bersidang pada 18 dan 19 Jan ini.

Inflasi Malaysia berada pada 4.0 peratus menjelang Oktober dan November 2022.

Innes berkata kenaikan kadar akhir pada Januari sebanyak 25 mata asas mungkin berlaku diikuti jeda yang berpanjangan untuk menyokong pertumbuhan dan melihat kepada impaknya.

“Saya lihat kadar memuncak di Asia Tenggara. Kadar penurunan Fed membolehkan bank pusat serantau mendapat lebih banyak ruang bernafas,” katanya.

Ringgit mengakhiri minggu ini pada paras tertinggi hampir 10 bulan selepas menerima sokongan daripada aliran masuk.

Dari minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding dolar US pada 4.3325/3375 daripada 4.4005/4070 yang dilihat semasa Jumaat sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia lemah berbanding pound Britain pada 5.2973/3035 daripada 5.2159/2336 dan susut berbanding euro pada 4.6986/7040 daripada 4.6254/6322 minggu lepas.

Ringgit merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3703/3744 daripada 3.2739/2793 dan jatuh berbanding dolar Singapura pada 3.2782/2825 daripada 3.2664/2717 sebelum ini. – BERNAMa