Gambar hiasan

PROJEK Pusat Fidlot Nasional negara yang terhenti akibat kontroversi yang melandanya kira-kira 13 tahun yang lalu sebenarya sangat wajar untuk dirancang dan diteruskan semula oleh pihak kerajaan. Daging lembu adalah salah satu sumber makanan tradisi rakyat Malaysia, khususnya umat Islam. Lebih–lebih lagi ketika menjelang musim perayaan dan kenduri kendara, ianya umpama sumber makanan wajib untuk dihidangkan. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan wajar mengambil serius pembangunan projek ini dengan membuat perancangan yang rapi dan telus supaya masalah lama tidak berulang kembali.

Umum mengetahui, kadar pemakanan daging lembu dalam kalangan rakyat Malaysia amat tinggi dengan kira-kira jumlah import daging lembu negara mencecah RM2.2 bilion pada tahun 2021. Masakan tidak, sehingga dikhabarkan pihak sindiket sanggup menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina yang tidak pasti sumber halalnya. Ini sekali lagi memberi satu signal kepada umat Islam di Malaysia akan firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: 172 – ”Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu”.

Sehingga ke hari ini, perkembangan isu daging lembu ini masih lagi belum ada penyelesaiannya. Malah, apa hukuman yang dikenakan ke atas kartel haram juga masih tidak kedengaran, walaupun hampir dua tahun setelah isu ini membelenggu pasaran daging lembu negara. Pengguna, khsususnya masyarakat Islam tidak punya banyak pilihan, hendak beli daging segar harganya melambung tinggi di pasaran. Teori ekonomi mengatakan, jika penawaran rendah dan permintaan tinggi, tentulah harga sesuatu barangan akan melambung. Kuasa beli pula, tentulah hanya berlegar dalam kalangan mereka yang berpendapatan tinggi. Masakan daging segar tempatan dapat dibeli jika harga sekilogram mencecah RM45. Tidak mahu tidak, daging lembu import yang diragui status halal itu jugalah yang terpaksa dibeli oleh pengguna khususnya umat Islam.

Natijah atas perkara ini amat besar implikasinya dari pelbagai aspek, khususnya dalam Islam makanan yang tidak jelas sumbernya akan membentuk akhlak yang tidak baik dalam diri individu tersebut. Apa yang dapat kita perhatikan dari isu kartel haram ini adalah dari aspek rantaian bekalannya. Dari awal pembekalan daging-daging ini sepatunya dipantau dengan teliti. Mahu atau tidak panel syariah harus dilantik oleh setiap syarikat pembekal daging yang mempunyai lesen import ini. Panel syariah perlu bertanggungjawab melapor kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan status daging import ini dari masa ke semasa dan bukan bersifat one off. Malah hal ini bukanlah suatu yang janggal, ini kerana untuk mendapat pengesahan jaminan halal atau patuh syariah tentulah ianya harus datang dari panel penasihat syariah yang jujur dan berintegriti.

Lihatlah bagaimana pengoperasian bank konvensional yang kini kebanyakannya sudah mempunyai sayap perbankan Islam bagi tujuan urusniaga patuh syariah. Ia tentunya sudah tidak asing lagi bagi kita, kerana sejak tahun 1983, kira-kira 40 tahun yang lalu kelahiran Bank Islam telah mula bertapak dan melebarkan sayap perniagaannya. Seterusnya, kita lihat pula konsep hotel patuh syariah yang tumbuh bagaikan cendawan. Malah hotel-hotel ini telah membuat pelaburan yang besar bagi mempamerkan elemen-elemen patuh syariah yang ingin dilihat dan dinikmati oleh pengunjung. Usaha yang digembeleng oleh hotel patuh syariah ini juga secara bersungguh-sungguh dilihat untuk mendapatkan pengiktirafan dari kaca mata pengunjung itu sendiri, ianya tidak dapat dinafikan sangat membantu mereka dalam menjual konsep syariah itu.

Pusat Fidlot Nasional Patuh Syariah adalah projek cadangan yang perlu dibangunkan sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memberikan satu prospek baru dalam penternakan daging lembu negara. Felda dan Petronas dilihat sebagai salah sebuah entiti yang boleh membantu penternakan daging lembu bagi menyuntik modal dalam perniagaan ini. Secara tidak langsung ianya, memberikan satu jaminan yang kukuh bagi projek ini untuk diteruskan, lantaran dua gergasi besar negara turut terlibat dalam pelaburan ini.

Mengapa perlu ditekankan elemen patuh syariah ini? Tidak lain, tidak bukan ianya adalah sebagai salah satu rangka kerja rantaian bekalan yang perlu dipatuhi dari aspek pengurusan ladang penternakan yang patuh syariah, pembelian baka lembu yang juga benar-benar syariah. Kita tidak mahu, ada unsur-unsur keraguan terhadap baka lembu sehingga tercetusnya isu kacukan lembu dengan haiwan lain. Kerangka syariah ini perlu dijadikan SOP dari awal pembinaan ladang penternakan, supaya semua pihak yang terlibat sedar akan misi dan visi Pusat Fidlot Nasional patuh Syariah ini.

Berhubung isu tanah untuk menjalankan projek ini, kerjasama melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang terpilih bagi mengenalpasti tanah-tanah waqf yang berpotensi untuk dipajakkan (ijarah) atau diwakafkan bolehlah dibincangkan bagi mendapat situasi menang-menang merujuk perjanjian yang bakal dimeterai antara pihak-pihak yang terlibat nanti. Kita tidak boleh berlengah lagi, tahun ini kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke -66, namun isu rantaian bekalan daging lembu halal, masih menghantui negara. Kita tidak boleh lagi menyerahkan isu makanan umat Islam kepada kartel tertentu sahaja. Isu harga, isu halal tidak menjadi misi dan visi utama kartel. Mereka ini berniaga, pastinya objektif perniagaan adalah untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin dan bukan bertunjangkan kebajikan apatah lagi patuh syariah.

Di pundak kerajaanlah, kebajikan rakyat hendak dipautkan. Selain itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga boleh mengkaji adakah model pembukaan tanah rancangan Felda satu ketika dahulu boleh dijadikan pemangkin yang boleh digunakan untuk menarik penternak lembu baru bagi membangunkan model penternakan pula. Jika kita lihat, idea Tun Razak ini pada tahun 1970 bagi mengeluarkan orang Melayu dari kepompong kemiskinan sangat berjaya. Malah, Felda menjadi penyumbang besar kepada pendapatan hasil negara melalui kelapa sawit dan getah. Alangkah bagusnya, jika dahulu ternakan lembu, kerbau atau kambing menjadi sebahagian daripada model ternakan di bawah pengurusan rancangan penerokaan tanah Felda ini.

Sudah pasti isu orang tengah atau kartel yang menghantui pasaran daging lembu dapat dikurangkan jika pun tidak dapat dihapuskan seratus peratus. Kata pepatah, yang berlalu, usah dikenang, kita lihat ke hadapan. Bagaimana untuk Malaysia terus survive dalam memperbaiki simpanan keterjaminan sumber makanan untuk rakyatnya, khusus dalam penternakan daging lembu negara. Model Felda dengan kerjasama MAIN mungkin menjadi titik tolak yang harus direncanakan. Kilang-kilang pemprosesan daging lembu yang segar akan dibina, seperti mana kilang-kilang sawit juga fungsinya,memproses minyak kelapa sawit sehingga sampai ke tangan pengguna. Kita mungkin dapat melihat dan menikmati daging jenama Felda & MAIN pula menjadi satu jenama rebutan daging lembu patuh syariah negara. Justeru itu, tepuk dada tanyalah hati, sudah bersediakah kita menjadi penternak daging lembu patuh syariah pertama di dunia?

Oleh: Dr Siti Nadiah Mohd Ali
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah,
Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi,
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Perak