Polis berjaya menumpaskan kumpulan curi kabel TM di Pulau Pinang dan Kedah dengan nilai kerugian berjumlah RM910,448.

GEORGE TOWN – Sub kontraktor yang dilantik Telekom Malaysia (TM) antara 19 individu yang ditahan polis dalam kes mencuri kabel TM di Pulau Pinang dan Kedah membabitkan kerugian bernilai RM910,448.

Kegiatan kumpulan tersebut terbongkar selepas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut menahan 11 lelaki tempatan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanjong Bungah di sini pukul 2.40 pagi pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketika tangkapan dilakukan, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah namun gagal menunjukkan sebarang dokumen sah membabitkan kerja itu.

Jelas beliau, hasil risikan lanjut membawa kepada tangkapan tujuh lagi individu termasuk seorang wanita yang berperanan sebagai ahli kumpulan dan pembeli kabel curi itu di Sungai Petani, Kedah.

Lima daripada 19 suspek yang ditahan merupakan pembeli.

“Turut ditahan dalam serbuan sama, seorang sub kontraktor yang dilantik TM berusia 30-an.

“Secara keseluruhan, seramai 19 suspek berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun yang berasal dari Kedah ditahan setakat ini yang mana lima daripada mereka merupakan pembeli manakala selebihnya pencuri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Antara yang dirampas dalam serbuan berkenaan, empat kenderaan termasuk sebuah lori; 65 batang kabel TM; telefon bimbit (14); kon jalan (12); sebilah parang, kapak serta pelbagai barang yang dipercayai untuk kegunaan kegiatan mencuri kabel.

Mengulas mengenai modus operandi, Mohd Shuhaily berkata, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, kumpulan berkenaan akan menyamar kononnya sedang membuat tugasan selenggara kabel TM.

“Mereka akan mencuri kabel bawah tanah melalui main hole sebelum membakarnya di kawasan Sungai Petani dan Kuala Ketil.

“Dengan tangkapan kesemua suspek ini, kita berjaya menyelesaikan 27 kes curi kabel membabitkan 17 di Pulau Pinang manakala 10 kes lagi di Kedah dengan nilai kerugian berjumlah RM910,448.

“Selain itu, semakan juga mendapati daripada jumlah tangkapan itu, seramai 14 suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette