Syafiq sempat meninjau keadaan penghuni Rumah Orang-orang Tua Seri Setia menikmati hidangan tengah hari.

PETALING JAYA – Tidak kira kaum atau agama, sebuah kedai pakaian saiz besar, Bob Rock Clothing di Shah Alam memilih Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di sini untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Program sempena sambutan Tahun Baru Cina itu diadakan secara sederhana dengan menyampaikan sumbangan limau Mandarin, pencuci pakaian, sabun pencuci tangan dan tisu.

Menurut wakil Bob Rock Clothing, Syafiq Azizan, sumbangan itu tidak seberapa tetapi cukup menggembirakan penghuni rumah berkenaan yang serratus peratus kaum Cina dalam menyambut tahun baru Ahad ini.

Syafiq Azizan

“Program CSR kita tidak memilih siapa, apa kaum dan agama mereka. Di saat penganut mereka menyambut perayaan dan hidup bersendirian tanpa ahli keluarga, kita akan hulurkan bantuan.

“Bantuan ini adalah untuk menceria dan menggembirakan mereka, ketika rakan sebaya di luar sana bergembira menyambut Tahun Baru Cina bersama ahli keluarga.

“Alhamdulillah, pengurusan rumah ini menyambut baik kedatangan kami dan mengalu-alukan sumbangan kami,” katanya kepada media selepas menyampaikan barang sumbangan itu di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan kepada Pengurus Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia, Sharon Tei.

Menurut Syafiq, CSR Bob Rock Clothing tidak terhad kepada kaum Cina sahaja malah selepas ini merancang untuk meraikan anak yatim sempena Ramadan dan penghuni Rumah Orang Tua kaum India bagi menyambut Deepavali tahun ini.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program CSR Bob Rock, boleh layari laman sesawang https://www.bobrock.com.my – MalaysiaGazette