KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Sarah Liyana memfailkan perceraian terhadap suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.
Beliau yang memakai pakaian serba hitam tiba di mahkamah berkenaan pukul 10.20 pagi dengan ditemani dua adiknya.
Sejurus tiba di pekarangan kompleks mahkamah beliau diserbu pengamal media yang menunggu kehadirannya sejak pukul 8.30 pagi bagi membuat liputan kes perceraiannya itu.
Ketika ditanya mengenainya perasaannya, Puteri Sarah berkata, beliau tenang walaupun lewat pulang ke rumahnya pukul 1 pagi tadi kerana terlibat dengan penggambaran.
“Saya bersedia, bersemangat sebab ada adik-beradik,” katanya ringkas kepada media tanpa menyatakan nama adik beradiknya itu.
Ujarnya, beliau akan mengadakan sidang media selepas urusan bagi kes yang hendak difailkan bersama peguam syarienya, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Semalam, Puteri Sarah telah menyatakan hasratnya untuk memohon perceraian dengan suaminya.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul yang juga pelakon dan pengarah filem menggemparkan peminatnya apabila membuat pengakuan melalui video dirinya sudah bernikah dengan aktres, Ira Kazar di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar Saisi.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Susulan pengakuan Syamsul, topik berkaitan kemelut rumah tangganya dan kehadiran Ira sebagai isteri kedua hangat diperkatakan sehingga trending dalam Twitter sejak beberapa hari lalu.
Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Alhamdulillah saya sudah bernikah secara sah dengan Ira Kazar – Shamsul