Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

GEORGE TOWN – Kerajaan perlu menggubal satu akta bagi mewujudkan Mahkamah Perlembagaan Khas dalam membicara serta mengadili kes berkaitan politik kebencian yang berasaskan isu perkauman dan agama.

Antara isu perkauman itu ialah bersabit dengan hal yang menyentuh isu sensitif seperti institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu serta hak kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan itu diutarakan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) bagi mempercepatkan kes yang dibicara dan diadili agar menjadi satu mekanisme menunjukkan kerajaan serius menangani isu politik kebencian.

Menurut Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff, ia juga bagi membendung isu sama tidak diungkit segelintir anasir yang boleh mencetuskan pergaduhan dan rusuhan perkauman.

“Umumnya mengetahui bahawa mahkamah di negara ini sudah menangani pelbagai kes dan sudah tentu mengambil masa yang lama bagi menyelesaikannya.

“Jadi dengan adanya Mahkamah Perlembagaan Khas ini, kerajaan tanpa lengah boleh bertindak membendung perasaan keresahan masyarakat akibat tindak tanduk puak yang tidak bertanggungjawab menghina Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

“Kewujudan Akta atau Undang-Undang bagi membendung isu politik kebencian dan mengadakan Mahkamah Perlembagaan Khas untuk membicarakannya menjadi satu agenda penting negara pada masa ini sebelum iklim politik negara menjadi lebih parah oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Yussof berkata, pihaknya juga berpendapat bahawa politik kebencian perlu segera dibendung dengan undang-undang yang sesuai menerusi akta yang mana kes berkaitan dengan politik kebencian dapat dibicara dan diadili di Mahkamah Perlembagaan Khas.

“Kewujudan mahkamah berkenaan juga dilihat sebagai satu usaha keperihatinan dan kesungguhan kerajaan bagi menyelesaikan masalah politik kebencian yang sedang membarah.

“Politik kebencian ini secara jelas menodai maruah Perlembagaan Persekutuan serta semangat Rukun Negara dan ia berbahaya malah perlu disekat segera,” kata beliau. – MalaysiaGazette