KUALA LUMPUR – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pagi semalam ketika rondaan rutin Op Ehsan di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, bot yang didaftarkan untuk membawa penumpang itu dikendalikan oleh dua warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan, 26 tong mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot.
Siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam.
Kesemua barangan itu beserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Peraturan Kawalan Bekalan 1961 iaitu membawa barang kawalan tanpa kebenaran.
Maritim Malaysia memandang serius sebarang salah laku di laut dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette