JPJ Johor akan memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang sambutan Tahun baharu Cina.

JOHOR BAHRU – Sebanyak lebih empat juta kenderaan dijangka masuk ke negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini bermula Jumaat hingga Selasa depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd. Edir Sanip berkata, pertambahan kenderaan itu dapat dilihat di pintu masuk utama negeri ini seperti di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) termasuk di Plaza Tol Kempas dan Plaza Tol Skudai serta di Tambak Johor.

Berikutan itu, JPJ akan melaksanakan operasi dan penguatkuasaan dengan menggandakan penugasan keanggotaan di seluruh negeri ini sepanjang musim perayaan.

Ia selari dengan slogan ‘pandu cermat, sampai selamat’, JPJ Johor akan memastikan penguatkuasaan operasi Tahun Baharu Cina dilaksanakan dengan efektif bagi mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan.

“PLUS juga telah memaklumkan akan berlaku peningkatan kenderaan yang memasuki negeri ini sebanyak dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Untuk memastikan kelancaran operasi, 170 pegawai dan anggota dari semua bahagian JPJ termasuk enam cawangan, enam stesen penguat kuasa dan dua stesen kawalan sempadan untuk bersama turun padang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.

Mohd. Edir berkata, sebanyak 33 buah kenderaan penguatkuasaan dan sembilan motosikal yang digerakkan untuk membuat rondaan dan pemantauan sepanjang operasi bermula Jumaat ini hingga 27 Januari ini.

JPJ Johor juga akan memberi tumpuan kepada 45 kawasan titik panas yang kerap berlakunya kemalangan jalan raya, majoritinya berada di kawasan Johor Bahru.

“Tumpuan diberikan kepada tujuh kesalahan utama antaranya tidak mematuhi had laju, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Jadi saya mahu mengingatkan semua pemandu lori dan kenderaan barangan mematuhi tarikh larangan yang ditetapkan, sekiranya gagal berbuat demikian kita teragak untuk mengambil tindakan tegas,” ujarnya. -MalaysiaGazette