geopolitik
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadi ahli panel dalam forum anjuran CNBC di Davos, Switzerland. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan China ketika ini membuka banyak peluang untuk Malaysia.

Menurut beliau, lebih banyak syarikat telah memindahkan operasi mereka ke Malaysia dan rantau ASEAN untuk mengelak sekatan perdagangan oleh AS.

Namun, katanya, pada jangka panjang, dasar perlindungan akan meningkatkan kos perdagangan dan akhirnya akan membebankan pengguna.

“Dalam hal ini, Malaysia mengambil pendekatan berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Malaysia menyeru semua pihak untuk lebih terbuka dalam menyelesaikan sebarang konflik,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkongsi mengenai pandangan yang dilontarkannya semasa menjadi ahli panel dalam forum anjuran CNBC yang membincangkan tentang isu inflasi, konflik Rusia-Ukraine dan lonjakan harga komoditi di Davos, Switzerland.

Turut menjadi ahli panel ialah Menteri Kerjasama Pembangunan dan Perdagangan Luar Negeri Finland, Ville Skinnar serta Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Antwerp-Bruges,Jacques Vandermeiren.

Tengku Zafrul menambah, dalam era globalisasi masa kini, sebarang tindakan yang diambil akan dirasai impaknya di seluruh dunia.

“Bak kata pepatah, cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya,” jelasnya. – MalaysiaGazette