Yang Dipertua MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama ahli dan keluarga ahli MUBARAK yang telah meninggal dunia di Rumah MUBARAK, Kemunting, Kuantan hari ini

KUANTAN – Kesedaran celik politik dalam kalangan generasi muda perlu diberi perhatian dengan lebih signifikan lebih-lebih lagi selepas pewartaan Undi 18 baru-baru ini.

Susulan itu, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) mahu memainkan peranan lebih efektif dalam usaha memastikan mereka mendapat pendedahan tentang tanggungjawab dalam lanskap politik negara.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, antara usaha yang telah digerakkan menerusi program berbentuk debat bersama golongan mahasiswa seperti program Parlimen Mahasiswa.

“Selain Parlimen Mahasiswa, kami juga ada program Wacana Rukun Negara dan Patriotisme Bersama Pemimpin Muda yang diadakan di peringkat daerah dan negeri Pahang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Yang Dipertua MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman

Jelas beliau, selain pendidikan, MUBARAK juga melakukan perkongsian pengalaman daripada kalangan ahlinya.

Usaha ini, katanya, merupakan inisiatif persatuan itu yang dianggotai hampir 1,000 ahli dalam kalangan bekas wakil rakyat di seluruh negara.

“Memandangkan baru-baru ini anak muda berusia 18 tahun pun sudah boleh mengundi, jadi MUBARAK akan menggerakkan lebih banyak perkongsian pengalaman dan pendidikan berbentuk political literacy kepada mahasiswa,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program sumbangan kepada waris ahli MUBARAK Pahang yang telah meninggal dunia di Rumah MUBARAK, Kemunting hari ini.

Turut hadir, Bendahari MUBARAK Pahang, Datuk Kurnia Bistari Mohamed Ariffin Awang Ismail; Ahli Jawatankuasa, Datuk Seri Maznah Mazlan dan lima keluarga penerima sumbangan terbabit.

Menyentuh berkenaan program hari ini, Abdul Aziz berkata, setiap keluarga bagi ahli MUBARAK yang telah meninggal dunia diberikan bantuan berbentuk tunai sebanyak RM2,000. – MalaysiaGazette