Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Firdous Rosli bercakap kepada media mengenai topik '2023 Economic Outlook: When Prices are Entrenched' ketika di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas untuk kali kelima berturut-turut kepada tiga peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, pihaknya beranggapan kenaikan OPR tidak akan terhenti setakat itu.

Sebaliknya, kata beliau, OPR bakal menyaksikan satu lagi kenaikan kepada 3.25 peratus pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM bulan Mac ini.

“Kami berpandangan OPR akan dinaikkan di tengah-tengah penurunan tahap kemudahan kewangan disebabkan penambahbaikan dalam permintaan domestik.

“Mengekalkan OPR pada tahap rendah dalam jangka masa yang terlalu lama boleh mengakibatkan ketidakseimbangan pada tahap ekonomi makro disebabkan aktiviti pengambilan risiko yang berlebihan.

“Peningkatan OPR berturut-turut, meskipun memberi impak kepada keseluruhan kos pinjaman kepada ekonomi adalah bertujuan menghapuskan kemudahan monetari yang berlebihan secara perlahan-lahan, berbanding untuk mengawal inflasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada sesi pembentangan unjuran ekonomi 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Firdaos berpandangan, purata inflasi negara akan menyederhana kepada tiga peratus tahun ini berbanding jangkaan 3.4 peratus pada 2022.

Ia adalah di bawah andaian kerajaan dalam mengekalkan polisi pemberian subsidi sedia ada, ujarnya.

“Kami melihat inflasi telah mencapai paras tertinggi tahun lalu dan akan menyederhana dalam keadaan kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat yang lebih baik dan kesan asas.

“Pun begitu, tahap inflasi akan menjadi lebih tinggi sekiranya kerajaan melaksanakan dasar pemberian subsidi secara bersasar tahun ini, ketika harga minyak runcit yang meningkat.

“Bank Islam menganggarkan Indeks Harga Pengguna akan meningkat sebanyak 0.42 peratus melebihi paras jangkaan bagi setiap kenaikan 10 sen untuk harga jualan RON95,” tambahnya. – MalaysiaGazette