Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mahu semua menteri mengambil serius teguran yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini mengambil masa yang panjang meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Menurut beliau, kesalahan yang sama dikesan masih berlaku dalam laporan yang disediakan.

Anwar mahu semua menteri memastikan kesalahan yang disenaraikan dalam laporan tersebut tidak berulang. Harus ada pengajaran dan saya minta menteri dalam mesyuarat post Kabinet untuk meneliti semula teguran dibuat.

“Soal perbelanjaan yang dibuat. Soal ketirisan. Soal tidak menepati syarat-syarat dan peraturan. Ini semua perlu diteliti.

“Saya percaya mereka akan umumkan pada waktu yang sesuai dan akan dibentangkan dalam sidang Parlimen yang akan datang,” katanya dalam sidang media sejurus mesyuarat selesai hari ini.

Anwar berkata, Laporan Ketua Audit Negara seringkali membuat syor bagi memastikan kesalahan yang dibuat tidak berulang.

Bagaimanapun kesilapan dan keterlanjuran yang sama diteruskan tahun demi tahun.

“Laporan ini penting kerana dikesan kesilapan yang sama kurang pengawasan. Biarkan ketirisan. Menyerahkan kepada syarikat yang tidak mengikut peraturan.

“Kita tidak pilih untuk umum kerana kita beri ruang kepada badan itu menjawab. Adakah jawapan itu munasabah,” katanya.

Sementara itu, menurut Anwar, mesyuarat hari ini turut membincangkan cadangan jawatan penambahan jawatan hakim untuk Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Kabinet akan memberikan keutamaan penambahan jawatan tersebut berikutan meningkatnya kes-kes di Sabah dan Sarawak, katanya.

“Jadi proses pelantikan hakim untuk Sabah dan Sarawak mengikut Fasal Perlembahaan memang dirujuk kepada Yang Dipertua Sabah dan Sarawak sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Anwar.

Kabinet juga membincangkan isu bangunan mahkamah di Sabah dan Sarawak yang dikesan agak daif. – MalaysiaGazette