SEPANG – Sebanyak 20 pejabat pengeluar pasport terpilih akan dibuka pada hujung minggu, bermula 28 Januari ini, dalam usaha mengurangkan kesesakan yang berlaku di kaunter Jabatan Imigresen sebelum ini.
Pejabat tersebut akan beroperasi jam 8 pagi hingga 12.30 tengahari pada hari Sabtu dan Ahad yang akan diselaraskan Jabatan Imigresen seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif yang diambil itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan dan aduan rakyat
“Saya mengambil maklum tentang keluhan rakyat dalam soal ini dan kami ingin jelaskan bahawa tak pernah mengamalkan sindrom penafian dalam soal ini pada bila-bila masa,” katanya selepas merasmikan Pejabat Pengeluar Pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.
Pejabat pengeluar pasport yang akan dibuka pada hujung minggu di Putrajaya (Menara Ikhlas), Kuala Lumpur (Jalan Duta dan Wangsa Maju), Selangor (Shah Alam, Kelana Jaya, Kajang, Puchong, Pelabuhan Kelang, Kuala Selangor, Kuala Kubu Baru), Johor (Setia Tropika, Kulai, Muar, Kluang dan Batu Pahat), Pulau Pinang (Seberang Jaya), Melaka, Perak (Taiping dan Teluk Intan) dan Kedah (Kulim).
Sementara itu, Saifuddin berkata, semua pejabat-pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi sehingga jam 7 malam pada Isnin hingga Jumaat.
Tambah beliau, pejabat teebut akan beroperasi sehingga pukul 5 petang Sabtu dan Ahad.
Bagi Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu pejabat akan dibuka sehingga pukul 5 petang pada Jumaat dan Sabtu.
“Bagi pemohon yang berhasrat untuk memohon pasport pada hujung minggu, digalakkan untuk terus ke kaunter-kaunter JIM yang dibuka manakala bagi pemohon yang berhasrat untuk memohon pasport pada hari Isnin hingga Jumaat, JIM menggalakkan permohonan dibuat secara dalam talian,” ujarnya. – MalaysiaGazette