KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023-2025.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, lapan tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing turut dilantik menganggotai MPPK.
Pelantikan mereka dibuat oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
”Pengalaman luas beliau dalam bidang pendidikan, dengan dibantu oleh gabungan mantap lapan orang ahli MPPK lain diyakini dapat memikul amanah membantu pihak KPM mengemudi sektor pendidikan negara dengan mengemukakan idea bernas yang membuka laluan ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.
Menurut KPM, isu bebanan tugas guru adalah antara perkara yang akan menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut dikemukakan kepada menteri untuk dipertimbangkan.
KPM berazam untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan bagi menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia daripada segi kualiti untuk memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara. – MalaysiaGazette