Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 DECEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Polis Selangor meminta mana-mana pihak yang telah kehilangan ahli keluarga atau kenalan supaya tampil segera bagi membantu siasatan pihak polis berikutan penemuan mayat manusia tidak berkepala di tepi jalan Kilometer (KM) 447, Lebuhraya Utara Selatan Susur Rehat dan Rawat Rawang Arah Selatan, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Sasikala Devi Subramaniam berkata, hasil bedah siasat menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia kira-kira 12 jam sebelum mayatnya ditemui di tepi lebuhraya itu.

Katanya, polis sehingga kini belum menemui sebarang petunjuk mengenai identiti sebenar mangsa.

Malah setakat ini tiada mana-mana pihak yang tampil melaporkan tentang kehilangan ahli keluarga atau kenalan mereka.

“Siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa sedang dijalankan termasuk meneliti laporan-laporan kes orang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Hasil bedah siasat pakar forensik ke atas mayat juga mendapati tidak mempunyai kesan suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG), maka kemungkinan besar simati adalah warga asing.

“Pada masa yang sama, kita juga mungkin akan memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam sidang media kejayaan rampasan rokok seludup tidak bercukai kastam bernilai RM10.8 juta di IPD Sungai Buloh hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat manusia dikerat dalam bagasi adalah lelaki warga asing

Mayat tanpa kepala dikerat enam dalam bagasi ditemui tepi Lebuhraya Utara Selatan

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa adalah seorang lelaki bukan warga negara Malaysia dan bukan beragama Islam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar mengesahkan, pihaknya sudah merakam percakapan dairpada orang awam yang teleh menjumpai mayat mangsa di tepi lebuh raya itu bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa dan mengesan saksi yang boleh membantu siasatan dan suspek yang bertanggungjawab melakukan jenayah kejam itu juga sedang dikesan untuk tindakan lanjut.

“Hasil laporan awal bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah berpunca daripada hentakan benda tajam dan tumpul,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast