Mayat manusia tidak berkepala yang dikerat enam bahagian ditemui dalam bagasi di tepi lebuhraya berhampiran Rawang Selatan 17 Januari lalu.

SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan mayat manusia dikerat enam bahagian yang ditemui dalam bagasi pakaian di tepi Lebuh Raya Utara Selatan semalam adalah seorang lelaki warga asing.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, maklumat itu diperoleh hasil proses bedah siasat ke atas mayat mangsa hari ini.

“Hasil bedah siasat ke atas simati, disahkan mangsa merupakan seorang lelaki bukan warganegara Malaysia dan dipercayai bukan Islam.

“Setakat ini hanya merakam percakapan daripada satu saksi berkaitan kes bunuh tersebut.,” katanya dalam kenyataan ringkas perkembangan terkini siasatan kes tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat tanpa kepala dikerat enam dalam bagasi ditemui tepi Lebuhraya Utara Selatan

Tambah beliau, punca kematian mangsa adalah akibat pelbagai kecederaan menggunakan senjata tajam dan tumpul yang dikesan pada anggota badannya.

“Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenalpasti indentiti sebenar simati,” katanya.

Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan kejam itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahannya.

Semalam, orang awam menemui mayat mangsa dengan badannya dikerat enam bahagian ditinggalkan dalam sebuah bagasi di tepi lebuhraya.

Dalam bagasi itu ditemui menemui serpihan potongan badan, namun tiada kepala serta kedua tangan dan kaki ditemui.

Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 11.45 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada IPD Sungai Buloh telah bergegas ke tempat kejadian itu.

“Siasatan awal di tempat kejadian menjumpai bagasi pakaian dan pemeriksaan lanjut di dalam bagasi berkenaan telah menemui serpihan potongan badan dalam enam bahagian.

“Identiti mayat dan jantina mayat berkenaan belum dikenal pasti berikutan keadaan mayat dipotong dari bahagian pinggang ke atas dan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.- MalaysiaGazette