Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendengar taklimat daripada pihak Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pahang di Kampung pantai Pelindung hari ini

KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM5 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Kampung Pelindung Pantai, Beserah terutamanya ketika Monsun Timur Laut.

Menteri Besar Pahang. Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek tersebut dijangka akan dilaksanakan antara April hingga Jun tahun ini.

“Projek ini akan dilaksanakan pada suku kedua tahun ini dan dikendalikan oleh Majlis Bandaraya Kuantan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang.

“Kami dan pihak berkenaan  turun padang dan melihat sendiri lokasi punca berlakunya banjir di kampung ini.

“Malah saya telah mengarahkan agar projek ini dapat dilaksanakan seberapa segera. Diharapkan selepas selesainya projek ini nanti kejadian banjir di kampung ini dapat dielakkan demi keselamatan penduduk,” katanya.

Hadir sama membuat tinjauan di kawasan tersebut ialah Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Tengku Norasmaliza Ku Lah.

Terdahulu Wan Rosdy telah meyampaikan sumbangan BWI kepada 206 kepada ketua isi rumah yang terkesan akibat banjir sebanyak RM1,000 setiap keluarga di Sekolah Kebangsaan Pelindung. – MalaysiaGazette