SEPANG – Jabatan Imigresen telah membuka Pejabat Pengeluar Pasport Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di lot tempat letak kereta berjangka panjang di sini hari ini.
Pejabat baharu yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu merupakan satu inisiatif inovatif Jabatan Imigresen Malaysia bagi memenuhi ekspektasi rakyat.
Katanya, kelebihan pejabat pasport itu adalah berada dekat dengan pintu masuk dan keluar KLIA sekaligus menunjukkan petunjuk prestasi utama (KPI) dalam meningkatkan komitmen dan sistem penyampaiannya kepada rakyat.
“Pembukaan pejabat pasport KLIA ini adalah projek rintis di sini dan kita sedang dalam perbincangan dengan Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB) di Kota Kinabalu dan jika segalanya berjalan mengikut rancangan, premis umpama ini juga akan diwujudkan di sana.
“Malah pejabat ini juga memiliki komponen penting iaitu keberadaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang akan menawarkan dua perkhidmatan iaitu pertama adalah perkhidmatan pengeluaran Dokumen Pengenalan Sementara bagi gantian kad pengenalan dan cabutan sijil lahir.
“Jikalau mana-mana pelanggan yang sedang di saat akhir persiapan terbang kemudian mendapati dokumen peribadinya hilang, mereka cuma perlukan beberapa minit sahaja tinggalkan terminal udara dan berada di sini memastikan dokumen itu diperoleh tidak sampai setengah jam berurusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan itu di sini hari ini.
Tambah Saifuddin Nasution, premis baharu itu telah memulakan operasinya sejak sebulan lepas dan merupakan hubungan simbiotik cukup bagus antara Imigresen dan JPN yang ternyata akan meningkatkan mutu sistem penyampaian kedua-dua jabatan ini kepada pelanggan.
Malah pembukaan pejabat yang sama akan memberikan manfaat kepada lebih dari 3.4 juta komuniti setempat meliputi Sepang, Kuala Langat, sebahagian dari Daerah Petaling, Seremban dan Port Dickson.
Ia pada masa yang sama mengurangkan kesesakan Pejabat Pengeluar Pasport Putrajaya, Pejabat Cawangan Hulu Langat di Banting dan Pejabat Imigresen Seremban, Negeri Sembilan.
“Selepas hampir sebulan beroperasi dan sepanjang tempoh tersebut sehingga 18 Januari 2023, sebanyak 182 permohonan pasport Malaysia telah dikeluarkan.
“Kalau lihat angka ini masih perlahan dan saya tadi sempat bertegur sapa dengan beberapa pelanggan yang memaklumkan mereka dapat tahu kewujudan pejabat ini dari media sosial dan laman web JIM selain yang tinggal berdekatan KLIA yang mana ini mencapai sasaran pelanggan kita berurusan.
Waktu pejabat Pasport KLIA beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum).
Menurut Saifuddin, sepanjang tahun 2022, JIM telah mengeluarkan sebanyak 2,574,435 pasport iaitu peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah dikeluarkan pada tahun 2019 iaitu 2,006,208.
Peningkatan jumlah permohonan pasport perjalanan di negara ini bermaksud kesedaran rakyat meningkat untuk memiliki dokumen perjalanan.
“Untuk tahun 2023, sehingga 17 Januari 2023, JIM telah mengeluarkan sebanyak 156,711 pasport perjalanan dan sebagai perbandingan, ingin saya memaklumkan bahawa secara purata JIM mengeluarkan 210,000 pasport setiap bulan dengan pengeluaran harian sebanyak 10,000 pasport. – MalaysiaGazette