KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memberi amaran kepada pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh agar tidak mengamalkan sikap membodek.
Menerusi satu hantaran video di laman Instagram JDT, Sumareh memberitahu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) adalah idolanya dalam bola sepak.
Namun, TMJ sempat memberi amaran kepada Sumareh agar menghentikan budaya itu.
“Jangan bodek saya kerana saya akan tetap kenakan awak nanti,” katanya dalam satu ruangan komen di Instagram Johor Souther Tiger.
Niat Sumareh yang merupakan kelahiran Gambiamungkin untuk bergurau namun budaya membodek dalam pasukan JDT sebenarnya tidak berapa menjadi terutama jika mahu terus kekal dalam skuad Harimau Selatan itu.
Ini kerana TMJ mahu setiap pemain JDT perlu bekerja keras di padang latihan untuk membuktikan mereka layak berada dalam kesebelasan utama.
Berdasarkan rekod, Sumareh hanya beraksi sebanyak 12 perlawanan dalam kesemua pertandingan dan mencatatkan dua gol dan dua bantuan gol pada musim lalu.
Selain Sumareh, peminat turut tertarik dengan jawapan balas daripada tonggak import pasukan itu, Bergson Da Silva apabila ditanya mengenai siapa idolanya.
Bergson memilih pemain tempatan, Syafiq Ahmad sebagai idolanya bersama lagenda Brazil, Ronaldinho Gaucho.
Skuad Harimau Selatan kini dalam fasa latihan bagi persediaan untuk menghadapi siri perlawanan persahabatan pra musim menjelang musim baharu ini.
Mereka akan ke Dubai, UAE dalam masa terdekat dan bakal menentang empat kelab dari Eropah termasuk Juara Liga Rusia.
Antara kelab yang dihadapi oleh JDT ialah kelab dari Bulgaria, FC Levski Sofia dan 3 kelab dari Rusia iaitu FC Rostov, FC Lokomotiv Moscow serta FC Zenit ST. Petersburg (Juara Liga Rusia).
Satu lagi kelab dari Liga UAE yang turut menjadi lawan mereka akan diumumkan kemudian. – MalaysiaGazette