KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan perlu berubah dari takuk lama kepada mengikut peredaran zaman, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
Katanya, dalam isu perfileman di negara ini, kerajaan seharusnya bersikap terbuka bukan terlalu mengongkong sehingga menyekat kreativiti produser dalam menghasilkan filem bermutu.
Beliau memberi contoh, isu filem Pulau yang hangat diperkatakan sekarang turut mendapat maklum balas Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kononnya tidak sesuai untuk ditayangkan.
“Saya tak tahulah filem Pulau ini filem (genre) apa, tapi kalau betul ada unsur seks atau lucah, bukan dalam filem pun masyarakat setiap hari tengok cerita lucah dalam media sosial Youtube.
“Jadi, kenapa Menteri nak ambil berat soal filem Pulau ini? Ianya bergenre seram je pun. Kalau ada unsur seks dan lucah, adegan itu tidak berat sangat seperti yang terhidang dalam era internet.
“Lagi pun, produser sudah ambil kira semua aspek penapisan sebelum buat filem ini. Bersikap terbukalah sikit, izinkan filem itu ditayangkan,” katanya menerusi Facebooknya.
Semalam, Fahmi dilaporkan berkata, beliau berpandangan treler filem bergenre serama, “Pulau’ tidak sesuai untuk ditayangkan.
Namun, katanya, beliau tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) yang berada di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Treler filem Pulau mendapat kritikan dan reaksi yang pelbagai daripada orang ramai selepas mendapati terdapat unsur soft porn.
Tidak hanya memaparkan pelakon lelaki tidak berbaju serta wanita berbikini, kehadiran model Ms Puiyi yang melakonkan aksi ghairah dilihat sebagai babak yang tidak sesuai untuk filem tempatan.
Mengulas lanjut, Zaid berkata, kerajaan reformis pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kena berubah mengikut cita rasa era sekarang dan tidak boleh terlalu tegas sehingga dilihat seperti kembali pada zaman dahulu.
“Saya haraplah kerajaan reformis ini, tak bolehlah nak tapis itu tapis ini. Kena tengok pada perubahan dan citarasa zaman sekarang.
“Kalau nak tapis filem kerana ada unsur seks dan lucah, maknanya kerajaan juga kena tapis buku sekali dan saya pasti banyak buku tak boleh dipasarkan. Apa makna kerajaan sekarang? Tak ada perubahanlah,” katanya. – MalaysiaGazette