BERMULA Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari dalam pentadbirannya, ia seolah-olah menjadi trend pula kepada penggantinya.
Lantas Perdana Menteri menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak muncul dengan konsep, 1 Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menerusi Kerajaan Prihatin dan Datuk Seri Ismail Yaakob tampil mempromosi Keluarga Malaysia.
Semalam, konsep Malaysia Madani dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bak kata timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Madani bukan slogan baharu buat Anwar dan masyarakat negara ini. Jelas beliau, Presiden PKR itu telah memperjuangkan konsep itu sejak berpuluh tahun lamanya.
Justeru, apabila ditakdirkan menjadi perdana menteri, Anwar wajar memperkenalkan dalam pentadbiran Kabinetnya. Namun apakah istilah itu masih relevan hari ini walaupun telah dipromosikan Anwar sejak 1070-an?
Secara ringkas, istilah Madani merujuk kepada tatakelola yang adil dan berkesan dalam sejarah umat Islam bermula di Madinah.
Konsep itu dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama masyarakat dalam mengacu pada dasar-dasar manfaat buat warganya yang disebut al-khayr.
Mengambil pendekatan itu, Anwar dalam amanatnya semalam, Madani adalah konsep kehidupan dan pengurusan yang akan menjadi satu pendekatan, tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan pada tahun ini dan mendatang.
Ujar beliau, Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan, dirangkul peradaban yang dicitakan dengan ditakrifkan dengan sebuah konsep mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat ihsan.
“Kerangka dasar Madani adalah falsafah pembangunan yang holistik dan menyeluruh berpandukan keprihatinan etika dan sosial serta berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan.
Ia bermakna mengurus ekonomi dengan mengambil kira faktor dimensi manusiawi, tidak ada kemanusiaan insan kalau memilih untuk mencemuh sesama manusia berdasarkan warna kulit atau daerah kerana madani itu menuntut nilai dan etika serta memuliakan dan mengangkat martabat insan,” katanya.
Kata Anwar, istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir sejak dahulu lagi, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.
Tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini, dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.
“Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan kita, jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan.
“Ia kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta membiarkan (permissive) tanpa mengira latar belakang. Tetapi ‘permissiveness’ sudah menembusi keyakinan kita,” katanya.
Anwar berkata, berikutan sikap sedemikian yang sudah menembusi masyarakat, ia membawa kepada fahaman kabilah, yang menyebabkan perilaku rasuah dan penyelewengan.
Pada masa sama, beliau juga tidak berhajat mengemukakan wawasan baharu ataupun membina tugu baharu, sebaliknya berhasrat mengajak rakan pimpinan untuk memikul amanah besar dan tanggungjawab mengangkat martabat insan berpaksikan keyakinan, nilai dan akhlak, tatakelola adil dan berkesan dalam sejarah. – MalaysiaGazette