Petugas Medical Relief Society Malaysia (MERCY) menyediakan ubat-ubatan untuk pelarian Rohingya yamg pemegang kad UNHCR mendapatkan rawatan perubatan percuma daripada MERCY di Seberang Prai, Pulau Pinang.

SETELAH empat dekad semenjak kemasukan pelarian daripada negara Vietnam ke Pulau Bidong pada tahun 1978, pengurusan pelarian di Malaysia masih lagi berada di dalam keadaan yang samar. Hal ini kerana kedudukan Malaysia yang tidak mengiktiraf keabsahan pelarian namun menjalankan tanggungjawab kemanusiaan. Kini, negara Malaysia tidak boleh lagi berpaut kepada sistem pengurusan yang lama tetapi perlu melakukan reformasi secara menyeluruh ke atas aspek-aspek pengurusan yang lebih efektif termasuklah aspek perundangan dan polisi negara.

Tindakan untuk mereformasikan institusi dan polisi yang berkaitan ini senada dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahukan sistem diubah menjadi lebih baik. Hal ini seharusnya termasuk isu pelarian yang telah lama menjadi ‘duri dalam daging’ kepada Malaysia. Negara kerugian kerana sistem pengurusan lama mempunyai kelopongan yang mengakibatkan kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.

Reformasi polisi dan perundangan

Umum maklum bahawa golongan pelarian tidak diurus dengan lebih efektif kerana keadaan Malaysia yang tidak mengiktiraf mereka tetapi terdapat mekanisma yang dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara yang membenarkan pergerakan pelarian di negara ini. Hal ini mengundang kesamaran dalam polisi dan perundangan iaitu tidak ‘mengiktiraf status’ tetapi ‘membenarkan pergerakan’. Oleh itu, polisi dan perundangan sedia ada perlu diubah dan diganti dengan sebuah akta yang lebih komprehensif untuk menguruskan pelarian yang memasuki negara Malaysia.

Selain itu, polisi dan perundangan sedia ada perlu dinilai semula kerana terdapat isu punca kuasa bagi semua pihak yang terbabit dalam masalah pelarian. Umpamanya, pihak UNHCR dibenarkan untuk mengeluarkan kad pelarian. Pemegang kad ini tertakluk kepada Arahan Majis Keselamatan Negara, Mekanisma Pengurusan Pendatang Asing Dengan Kad Pelarian UNHCR. Situasi ini dilihat terdapat pertindihan dengan kuasa oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mempunyai sistem Tracking Refugees Information System (TRIS).

Sistem ini juga membenarkan kad pelarian dikeluarkan bagi mereka yang layak. Situasi ini mewujudkan keadaan terdapat duakaedah yang diguna pakai oleh pihak kerajaan ketika status pelarian adalah tidak absah. Oleh itu, reformasi kepada polisi dan perundangan yang mengawal selia pelarian perlu dilaksanakan. Hal ini dapat mewujudkan ekosistem pengurusan yang lebih cekap dan mampan.

Reformasi percukaian dan pendigitalan

Berbeza dengan pendatang asing secara sah, golongan pelarian tidak diperuntukkan akta-akta yang jelas untuk membolehkan mereka dicukai. Hal ini kerana status keabsahan pelarian yang masih lagi tidak jelas, sekadar menepati terma sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Bagi golongan pendatang asing, mereka memasuki negara ini melalui proses dan dokumentasi yang sah. Hal ini melibatkan kos-kos dan levi-levi tertentu yang dikenakan ke atas golongan pendatang. Situasi ini berbeza kerana kemasukan pelarian adalah secara tidak sah dan tidak dikenakan sebarang levi tertentu.

Kondisi ini secara harfiahnya telah mewujudkan kerugian kepada ekonomi negara. Di dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil, negara juga kehilangan sumber daripada levi yang tidak dikenakan ke atas golongan pelarian. Oleh itu, reformasi ke atas polisi dan perundangan perlu mengambil kira percukaian yang boleh dilaksanakan ke atas golongan pelarian yang memasuki negara. Hal ini tidak mustahil kerana terdapat pihak dalal yang mengenakan sejumlah bayaran dan mengaut keuntungan hasil dari membawa masuk pelarian ke negara ini.

Seterusnya, apabila reformasi percukaian dilaksanakan, digitalisasi perlu ditekankan oleh pihak pembuat dasar. Kesukaran untuk mengurus pelarian kerana jumlah yang ramai dan kepelbagaian cara melepasi sempadan berpotensi diselesaikan melalui sistem biometrik. Usaha pengesanan akan menjadi lebih mudah dengan ID yang diberikan kepada golongan pelarian.

Penggunaan ‘Internet of Things’ perlu dimaksimumkan bagi memastikan setiap pelarian didaftarkan kedalam sistem pengurusan. Hal ini berpotensi untuk membantu melancarkan proses yang perlu dilaksankan oleh pihak kerajaan. Tidak boleh lagi kerajaan membiarkan pelarian ditahan begitu lama di Depoh Tahanan kerana tindakan ini tidak baik untuk ekonomi negara. Kos-kos mengurus pelarian yang ditanggung kerajaan perlu dikurangkan semaksimum mungkin dan faedah pelarian kepada ngara perlu dinaikkan semaksimum mungkin.

Akhirnya, isu pelarian yang sudah berlarutan tidak boleh lagi menjangkau ke tahun 2024. Tahun 2023 perlu menjadi noktah kepada masalah pelarian dengan reformasi ke atas sistem pengurusan yang boleh memberikan impak positif kepada ekonomi negara.

Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Negeri Sembilan &
Felo Penyelidik Bersekutu,
Institut Penyelidikan Untuk Indonesia, Thailand dan Singapura, UUM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast