Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Tahun Baru Cina 2023 Parti MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Satu memorandum akan dikemukakan MCA kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beberapa keperluan berkaitan kaum Cina.

Antara perkara itu adalah berhubung ekonomi, industri kecil dan sederhana (PKS) dan pendidikan masyarakat Cina untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2023, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan dialog dengan badan bukan kerajaan (NGO) Cina di negara ini pada September tahun lepas bagi mendengar pandangan dan aspirasi mereka yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Saya lihat ada beberapa cabaran besar iaitu dari segi ekonomi global, yang mana perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China adalah satu faktor yang akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi, selain kadar inflasi dan menarik pelabur.

“Kita akan kemas kini memorandum ini kerana ada pengumuman baharu dibuat dan akan dihantar selepas Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Majlis dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis turut dihadiri Menteri Kabinet, perwakilan asing serta pemimpin Barisan Nasional (BN).

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada 24 Februari ini.

Pada 20 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Bajet Mini 2023 bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107 bilion.

Bajet itu dibentangkan Anwar di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 bagi membenarkan perbelanjaan dikeluarkan bagi emolumen penjawat awam. – MalaysiaGazette