KUALA LUMPUR – Negara-negara Islam diseru supaya mengecam tindakan ahli politik sayap kanan di Sweden yang telah membakar al-Quran semasa protes Islamofobia di hadapan kedutaannya di Stockholm, semalam.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata,pihaknya menyokong tindakan pantas Turkiye untuk membatalkan lawatan menteri pertahanan Sweden yang bertujuan untuk mengatasi bantahan negara itu terhadap keahlian NATOnya.
“Ini adalah tindakan jenayah kebencian yang dilakukan oleh Rasmus Paludan, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line.
“Pada April tahun lalu, pengumuman Paludan tentang “pelancongan” membakar al-Quran semasa bulan suci Ramadan telah mencetuskan rusuhan di seluruh Sweden. Sweden tidak mengambil langkah yang perlu untuk menghentikan kempen thr.
“Kami kesal dengan polis Sweden yang tidak mengambil tindakan apabila Paludan membakar kitab suci itu dengan pemetik api berikutan kecaman panjang hampir sejam, di mana dia menyerang Islam dan imigresen di Sweden,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi turut melahirkan kekesalan terhadap dasar kebebasan bersuara Sweden yang membenarkan untuk menghina agama sedangkan ia jelas bukanlah kebebasan bersuara sebaliknya, ia merupakan kebencian dan Islamofobia semata-mata.
Tambah beliau, pihaknya menyokong Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu yang menyuarakan kemarahan terhadap kegagalan pihak berkuasa Sweden untuk mengharamkan protes itu.
“Adalah menjadi persoalan bahawa ‘Jenayah kebencian jelas’ ini walaupun tidak semestinya kerajaan Sweden menyokong ungkapan itu, seperti yang dipertahankan oleh Menteri Luar Sweden Tobias Billstrom.
“Bagaimanapun hakikat bahawa kempen ini telah dibenarkan untuk diteruskan, mencerminkan toleransi Sweden di bawah alasan kebebasan bersuara.
“Sungguh mengerikan bahawa di Sweden sedang merebak kebencian dan ekstremisme,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menggesa kerajaan Malaysia mengutuk jenayah yang berlaku di negara terbabit serta memanggil kedutaan Sweden untuk memberikan penjelasan.
Pihaknya turut menyeru agar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) mengeluarkan amaran keras terhadap Sweden bagi menunjukkan bahawa masyarakat Islam antarabangsa tidak berdiam diri. – MalaysiaGazette