P. Ramasamy.-

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan beliau.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P. Ramasamy yang menyifatkan SOSMA sebagai undang-undang zalim dan keji berkata, ia bertentangan dengan Malaysia Madani.

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim jelas menyatakan keperluan untuk membina masyarakat atas dasar masyarakat Madani.

“Pemikiran sebegini memerlukan kerjasama yang erat antara kerajaan dan masyarakat atas dasar nilai kerajaan yang baik, kelestarian, muhibah, prihatin dan nilai kemanusiaan.

“Namun, terjemahan konsep ini secara konkrit bermaksud menyingkirkan undang-undang yang zalim dan keji yang merugikan dalam memupuk kebaikan dan nilai manusia,” kata Ramasamy dalam media sosial.

Anwar melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu dalam usaha membina martabat negara semula yang makmur dan dikenali pada masa depan.

Konsep itu dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW dan didukung oleh warganya yang berbilang kaum dan agama masyarakat dalam mengacu pada dasar-dasar manfaat buat warganya yang disebut al-khayr.

Ramasamy menegaskan, SOSMA adalah ‘kejahatan’ yang sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan merupakan undang-undang terhadap kemanusiaan.

Katanya, di bawah SOSMA suspek boleh ditahan selama 28 hari dan kemudian disambung dengan Kanun Keseksaan.

“Anda tidak boleh bercakap tentang hak asasi manusia dan kesopanan manusia tetapi bergantung pada undang-undang yang kejam dan tidak adil terhadap kemanusiaan.

“Tiada pembelaan terhadap SOSMA kerana terdapat undang-undang yang mencukupi di negara ini untuk mencegah gangsterisme dan keganasan.

“Pasukan polis tidak boleh bergantung kepada undang-undang yang lapuk untuk memerangi jenayah. Ia hanya menunjukkan bahawa pasukan polis masih belum mencapai profesionalisme yang diperlukan,” kata Ramasamy.

Menurut beliau, pada ketika ini masih terdapat 30 individu  ditahan di bawah SOSMA.

Ramasamy antara yang lantang ketika 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri DAP ditahan di bawah SOSMA pada 2019.

Kesemua mereka ketika itu disyaki terlibat dengan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE).

Bagaimanapun Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh dan membebaskan mereka berkuat kuasa serta merta pada 21 Februari 2020.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast