Banjir kilat menyebabkan jalan masuk ke Ladang Selai, Kahang kini terputus hubungan.

KLUANG – Kira-kira 300 orang penduduk dan pekerja Ladang Selai, Kahang kini terputus hubungan akibat banjir dan mengharapkan bantuan daripada pihak berkuasa.

Kesemua mereka dikatakan terputus hubungan selepas laluan masuk ke kawasan ladang itu dinaiki air setinggi 3.5 kaki.

Menurut penyelia ladang, Raja Muhd Iskandar Raja Abdul Aziz, air Sungai Selai dan Sungai Tamok di kawasan itu dinaiki air sejak 3 petang semalam.

Jelas beliau, lebih membimbangkan, walaupun kebanyakan mereka mempunyai lori pegangkut buah kelapa sawit seberat 18 tan, mangsa terlibat masih tidak boleh keluar daripada kawasan terjejas ekoran arus sungai deras.

Selain itu, hujan  lebat juga mengakibatkan mereka sukar melihat keadaan jalan.

Katanya lagi, sekiranya hujan berterusan, tidak mustahil kesemua mangsa akan kehabisan stok makanan yang dijangka boleh bertahan sehingga dua hari sahaja lagi.

“Jalan masuk ke Ladang Selai adalah tanah merah dan hujan lebat sudah bermula sejak Ahad lalu tetapi sekejap berhenti sekejap hujan.

“Hujan memang lebat dan ini menyebabkan air sungai naik dan kami terputus hubungan jalan darat.

“Kira-kira 300 orang  terlibat itu semua terdiri daripada 18 keluarga tempatan dan selebihnya adalah warga Indonesia  dan Bangladesh.

“Yang kita bimbang sekarang ini walaupun barangan keperluan asas seperti beras, telur, bawang dan sebagainya masih ada kita takut bahan terputus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku kali ini merupakan  terburuk yang pernah dialami.

“Jalan yang terputus itu kalau kami nak guna bot pun kita tak tahu sama ada laluan itu selamat atau tidak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sebanyak 11 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini yang menempatkan seramai 1,139 orang daripada 325 keluarga.

Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kluang yang juga Pegawai Daerah, Jamaludin A. Hamid berkata, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Agama Sri Tengah 1; Kampung Bentong; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil; Pusat Banjir Jabatan Kemajuan Orang Asli; Kampung Seri Lalang; Kampung DSA Chamek; Kampung Muhibbah Paloh; SMK Kahang dan Kampung Melayu Batu 4 Paloh.

Terdahulu, dua PPS dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana. – MalaysiaGazette