Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 bersama warga kementerian Perladagangan dan Komoditi di Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 26 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Indonesia bagi membincangkan hasrat republik itu untuk mempunyai penanda aras harga minyak sawit mentah (MSM) sendiri, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu dibincang bersama kerana rancangan Indonesia itu akan memberi kesan keseluruhan rantaian industri perladangan sawit bukan sahaja kepada Malaysia, malah di peringkat dunia.

Fadillah berkata, pertemuan Malaysia dan Indonesia dicadangkan berlangsung pada minggu kedua Februari bagi membincangkan perkara tersebut agar memberi manfaat kepada  semua pihak.

“Perbincangan perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan penetapan harga dilaksanakan untuk kebaikan sektor perladangan di kedua-dua negara,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Indonesia Zulkifli Hasan sebelum ini dilaporkan berkata jika boleh, negara itu mempunyai harga penanda aras minyak sawit sebelum Jun dan tidak perlu lagi bergantung kepada Kuala Lumpur.

Indonesia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dunia ketika ini dengan hampir 50 juta tan MSM setahun.

Pada 12 Januari lepas, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata harga MSM pada 2023 dijangka antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan metrik berbanding RM5,087.50 satu tan pada tahun lepas.

Fadillah berkata, turut akan dibincangkan dalam pertemuan Malaysia dan Indonesia itu nanti ialah mengenai isu sekatan dan halangan perdagangan terhadap produk sawit oleh Kesatuan Eropah.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, sektor agrokomoditi negara mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM268.2 bilion pada tahun lepas manakala imbangan dagangan pula berjumlah RM146.5 bilion.

“Pendapatan eksport produk agrokomoditi pula sebanyak RM207.3 bilion atau 13.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara,” katanya.

Beliau yakin prestasi perdagangan akan kekal positif bagi tahun ini walaupun terdapat sedikit penurunan sebanyak 1.1 peratus pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Dari segi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh Januari hingga September tahun lepas, sektor agrokomoditi telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu sebanyak 5.5 peratus daripada keseluruhan KDNK nasional, katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata seramai 63,000 tenaga kerja asing masih diperlukan dalam sektor agrokomoditi bagi sektor sawit.

Menurutnya, kekurangan pekerja dalam sektor tersebut telah menyebabkan produktiviti hasil sawit terjejas teruk dan negara mengalami kehilangan hasil pendapatan dianggarkan RM20 bilion pada tahun lepas. – BERNAMA