Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat pemeriksaan motorsikal pada Operasi Penguatkuasaan Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Tidak masuk akal, itulah yang dapat disimpulkan apabila seorang penjawat awam memberi alasan tidak perasan salah satu nombor yang tertera pada plat pendaftaran motosikal miliknya bertukar dari nombor asalnya selama hampir satu tahun.

Pemuda berusia 27 tahun itu mendakwa, dia membuat plat kenderaan untuk motosikal skuter jenis Yamaha NVX miliknya itu di sebuah kedai aksesori motosikal pada Februari tahun lalu.

Dia yang ditahan dalam Op Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi malam tadi berkata, dia tidak sedar langsung kedua-dua (depan dan belakang) nombor plat motosikalnya berbeza pada nombor terakhir yang mana sepatutnya adalah dua, namun diletakkan nombor tiga.

“Saya memang tak sedar selama setahun ini nombor plat di depan dan belakang motosikal saya tak sama dengan nombor casis enjin motosikal dan nombor pendaftaran pada cukai jalan.

“Selepas saya menukar plat kenderaan, saya tidak pernah disaman oleh penguatkuasa keselamatan atas kesalahan ini kerana tidak pernah melalui pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) selama tempoh setahun ini,” katanya ketika ditahan oleh penguat kuasa JPJ.

Pemuda itu telah ditahan untuk pemeriksaan lesen dan cukai jalan oleh salah seorang daripada 93 angggota penguatkuasa termasuk 57 anggota JPJ, anggota Jabatan Imigresen, anggota Alam Sekitar dan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan yang terlibat dalam Op Khas Motosikal bersempena kempen Keselamatan Jalan Raya Sambutan Tahun Baru Cina 2023 bermula 18 hingga 27 Januari ini.

Ketika ditahan sekitar jam 9 malam tadi, pemuda tersebut dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Damansara ke rumahnya yang terletak di Kajang.

Hasil pemeriksaan, JPJ mendapati motosikal jenis skuter milik pemuda itu mendapati nombor pendaftaran berkenaan adalah milik sebuah motosikal Yamaha Lagenda.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail yang ditemui media selepas operasi berkata, kebanyakan kes nombor pendaftaran palsu didapati dengan jelas ditukar secara sengaja oleh pemilik kenderaan itu.

“Apabila mereka tampil ke JPJ untuk menafikan kesalahan itu, siasatan bertulis akan dijalankan oleh pegawai JPJ dan kebanyakannya mendapati mereka sengaja melakukan kesalahan itu. Mungkin untuk mengelirukan pihak berkuasa termasuk JPJ, polis atau mengelak tindakan diambil.

“Malangnya, apa yang kita sangat risau adalah perbuatan itu (memaparkan nombor pendaftaran kenderaan palsu) bertujuan untuk melakukan kegiatan jenayah dan perbuatan itu dibimbangi akan menyebabkan pemilik kenderaan bagi nombor pendaftaran kenderaan asal terkena tempias dan terpaksa menanggung kesalahan dilakukan individu tidak bertanggungjawab itu,” jelas beliau.

Berhubung dakwaan lelaki itu, Mohd Zaki berkata, JPJ akan memanggilnya untuk mengambil kenyataan bertulis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 108 (5)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa yang sama, pemilik asal nombor pendaftaran kenderaan itu akan turut dipanggil untuk membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan individu menggunakan nombor pendaftaran palsu motosikal telah disita itu akan didakwa di mahkamah jika terbukti dia sengaja menukar nombor itu.

“Jika disabitkan kesalahannya boleh dikenakan denda RM5,000 berlunaskan undang-undang yang diperuntukkan di negara ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast