Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar bersama Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Ð Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman (kanan) dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (kiri) bergambar bersama replika cek mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022 di Hotel Everly Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatatkan jumlah keseluruhan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan sebanyak RM937.036 juta pada tahun lalu berbanding RM828.671 juta pada 2021, peningkatan 13 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah tersebut merangkumi kutipan zakat harta sebanyak RM923.284 juta dan kutipan zakat fitrah berjumlah RM13.752 juta.

“Jumlah pembayar zakat harta adalah seramai 240,630 orang manakala bagi zakat fitrah pula seramai 1,592,134 orang.

“Ini menjadikan keseluruhan pembayar zakat di Wilayah Persekutuan meningkat sebanyak 17 peratus iaitu seramai 1,832,764 orang berbanding tahun 2021 hanya 1,566,171 orang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan bagi tahun 2022, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Dr. Mohd Daud Bakar dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd NaÕim Mokhtar bercakap pada sidang media mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022 di Hotel Everly Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2023.

Mohd Na’im berkata, peningkatan kutipan dan pembayar zakat itu adalah atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran zakat serta pelaksanaan promosi zakat secara berterusan dan meluas melalui pelbagai platform oleh PPZ-MAIWP.

“Turut menyumbang kepada peningkatan adalah Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat oleh MAIWP dan Skim Kafalah Muzakki (sumbangan khairat kematian).

“Skim tersebut yang ditawarkan kepada pembayar zakat berjaya menarik minat pembayar baru dan pembayar sedia ada untuk mengekalkan dan menambah bayaran zakat mereka,” katanya.

Menurut beliau, selain itu kepercayaan masyarakat terhadap agihan zakat yang dilaksanakan oleh MAIWP juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga Disember 2022 MAIWP telah mengagihkan RM855.519 juta dana zakat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan terus kepada asnaf.

“Pada tahun 2022 MAIWP mensasarkan untuk memperkasakan usaha dalam membantu asnaf keluar dari kepompong kemiskinan dan seterusnya menjadi pembayar zakat.

“Pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan oleh MAIWP sepanjang tahun 2022 seperti Program Agropreneur MAIWP, Gerobok Rezeki Komuniti U, Program MAIWP Insani Misi Banjir dan sebagaiya,” jelasnya.

Tambah beliau, MAIWP menjalin kerjasama bersama institusi-institusi kemahiran dan pemain industri untuk memberi pendidikan dan kemahiran kepada 351 anak golongan asnaf menerusi program latihan industri minyak dan gas, kimpalan, pengendalian jentera berat, pesawat dan lain-lain membabitkan peruntukan RM4.3 juta.

“Menerusi program ini, anak-anak asnaf diberikan jaminan kerjaya dengan gaji permulaan sehingga RM1,800 apabila mereka menamatkan latihan kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan PPZ-MAIWP mensasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf tahun ini sebanyak RM1.02 bilion dengan jumlah pembayar seramai 1,907,100 individu.

“PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan RM1 bilion daripada 268,100 pembayar zakat harta, RM13.8 juta daripada 1,597,000 pembayar zakat fitrah, dan RM12.6 juta daripada 42,000 pembayar wakaf tunai,” katanya. – MalaysiaGazette