Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi pendengaran bantahan kes membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang berdepan dengan tuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja Sindrom Down dikenali Bella membaca penyataan saksi untuk membela diri mendakwa beliau kehilangan segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas.

“Saya dikecam dan diugut bunuh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini, hampir setiap masa. Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty (saksi pendakwaan pertama) menyebarkan video Bella yang disunting.

“Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan,” katanya ketika membacakan penyataan saksi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi tanpa diwakili peguam bela, hari ini.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun yang didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001 berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Malah Siti Bainun berkata, beliau kehilangan pekerjaan perniagaan makanan seperti dipulaukan.

Siti Bainun mendakwa, beliau takut keluar rumah sehingga jatuh sakit dan memerlukan rawatan di hospital akibat ugutan yang diterima.

Katanya, ketika menerima rawatan, terdapat tindakan jururawat yang boleh membahayakan dirinya sehingga peguam terpaksa campur tangan untuk memastikan keselamatannya terjamin.

Sementara itu, Siti Bainun berasa curiga dengan tindakan Zurianty yang merakam dan menyebarkan video Bella menyebabkan beliau didakwa di mahkamah.

Siti Bainun mendakwa, Zurianty tidak pernah mengambil berat tentang Bella selama dalam jagaan wanita itu dan tidak pernah mendapat perhatian saksi itu.

“Dia tidak pernah jaga, mandikan, suap dan tidak pernah bermain pun dengan Bella. Tapi saya hairan tiba-tiba Zurianty muncul di rumah saya pada 24 Jun 2021 semasa saya memang terang-terang tidak ada di rumah.

“Apabila saya dapat makluman dia yang merakam video Bella dan saya dengar di mahkamah dia juga yang sebarkan kepada pihak lain, saya terkejut.

“Jika Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, wanita itu tidak perlu bertindak sentimen anak orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan perhatian masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette